Cristiano Ronaldo
Cristiano Ronaldo.

ROM – Bintang sensasi dunia, Cristiano Ronaldo menafikan kenyataan Menteri Sukan Itali yang dia melanggar protokol Covid-19 yang ditetapkan oleh negara itu selepas kembali daripada tugasan antarabangsa dan didapati positif virus berkenaan.

Penyerang Juventus itu memberitahu dia ketika ini menjalani kuarantin kendiri di rumahnya di Turin selepas tiba dari Portugal menerusi penerbangan ambulans.

Dia didapati positif Covid-19 ketika bersama pasukan kebangsaan itu untuk tugasan Liga Negara-Negara UEFA.

“Saya tidak pernah melanggar protokol dan ia tidak benar.

“Saya meneruskan proses kuarantin secara bersendirian. Keluarga saya di tingkat yang lain. Kami tidak boleh bersama dan ia akan kekal begitu sehingga sekurang-kurangnya 10 hari lagi,” ” kata Ronaldo di akaun Instagram miliknya.

Menteri Sukan, Vincenzo Spadafora sebelum ini mendakwa Ronaldo sudah melanggar protokol dengan meninggalkan Itali ketika Juventus melalui tempoh pengasingan berikutan terdapat dua kes positif Covid-19.

Kemudian beliau membalas komen Ronaldo dengan mendakwa pemain itu berbohong dan menegaskan komennya itu khusus merujuk kepada tindakannya serta beberapa rakan sepasukannya yang meninggalkan pasukan untuk menyertai skuad kebangsaan.

“Populariti dan kehebatan segelintir pemain bola sepak bukan bermaksud mereka boleh bersikap angkuh dan tidak menghormati peraturan kami dan kemudian berbohong” kata Spadafora kepada agensi berita ANSA.

Ronaldo bakalterlepas perlawanan Serie A bertemu Crotone dan aksi pertama Liga Juara-Juara bertemu Dynamo Kiev pada 20 Oktober ini perlu mendapat keputusan negatif sehari selepas itu untuk diturunkan bertemu Barcelona dan seteru lamanya, Lionel Messi seminggu selepas itu. – MalaysiaGazette