Tiada lagi kes positif Covid-19 hasil dari saringan KKM di Penjara Alor Setar.

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara di Penjara Alor Setar dilanjutkan selama 14 hari lagi bermula 19 Oktober sehingga 1 November ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelas beliau, ia bagi membolehkan pemantauan dan saringan berterusan dilakukan dalam usaha memastikan rantaian Covid-19 diputuskan sepenuhnya di dalam penjara berkenaan terutama di kalangan kakitangan penjara berkenaan.

“Mengambil kira masih terdapat kes positif baharu dan atas permohonan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kedah serta nasihat KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), maka pelaksanaan ini dilakukan,” katanya.

Tambah beliau, sehingga 17 Oktober 2020, terdapat 1,178 kes positif Covid-19 melibatkan 1,137 tahanan dan 41 kakitangan penjara tersebut telah direkodkan.

Pelaksanaan PKPDB di Penjara Alor Setar sepatutnya tamat hari ini selepas dikuatkuasakan pada 5 Oktober lalu.

Dalam masa yang sama Ismail turut memaklumkan seramai 50,254 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dari 24 Julai sehingga 17 Oktober 2020.

Daripada jumlah itu, seramai 8,151 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 69 hotel dan 15 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Tinggi Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

“Seramai 381 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 41,722 individu telah di discaj dan dibenarkan pulang ke rumah,”tambahnya. – MalaysiaGazette