Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memberi jaminan masalah yang dialami oleh penghuni Projek Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Melinjau di sini akan diatasi secepat mungkin.

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memberi jaminan masalah yang dialami oleh penghuni Projek Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Melinjau di sini akan diatasi secepat mungkin.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai pelan yang jelas serta sudah mengenal pasti masalah yang berlaku di projek perumahan tersebut dan mengakui tindakan untuk membaik pulih kediaman itu perlu dilakukan.

“Saya sudah beri arahan kepada Presiden (Perbadanan Putrajaya) untuk melihat permasalah itu secara menyeluruh.

“Kita sudah kenal pasti masalah yang berlaku dan setiap satu itu perbadanan sudah mempunyai kaedah untuk tindakan diambil,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut Annuar berkata, sebahagian besar daripada unit-unit kediaman di situ masih lagi dalam tempoh tanggungan dan ia bukan sahaja menjadi tanggungjawab kepada Perbadanan Putrajaya (PPj) tetapi juga melibatkan kontraktor asal projek itu.

Annuar tidak mahu adanya aduan daripada orang ramai yang tidak dilayan sebaliknya ia perlu diberikan perhatian serius.

“Saya tak nak bila ada aduan daripada rakyat macam orang kata masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Tiap-tiap hari orang ramai duduk dengan masalah.

“Konsep Wilayah Cakna perhatian serius mesti diberikan penyelesaian. Saya tak percaya tiada masalah yang tiada jalan penyelesaian.

“Tapi, kita kena serius, jangan anggap benda tu kecil sehinggakan orang ramai, pembeli rumah duduk ternanti-nanti tertunggu-tunggu. Dalam Wilayah kita tak nak ada benda begitu,” ujarnya ketika ditanya mengenai perkembangan terkini berhubung status projek perumahan berkenaan.

Sebelum ini Presiden PPj, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain memberi jaminan masalah penduduk di projek Perumahan awam itu akan diselesaikan selepas siasatan yang dilakukan dalam tempoh tiga minggu.

Katanya, tempoh itu adalah bagi mengadakan mesyuarat penyelarasan penyelesaian jangka pendek sebelum kerja-kerja baik pulih di kawasan awam dan pembaikan di unit kediaman yang didiami lebih 600 pemilik itu dimulakan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Masalah PPAM Melinjau diselesai lepas siasatan 3 minggu