Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain bercakap kepada wartawan pada sidang media selepas melapor diri pada hari pertama sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) di Bangunan Perbadanan Putrajaya, Putrajaya. foto ISKANDAR HAMIDI, 06 OKTOBER 2020.

PUTRAJAYA- Perbadanan Putrajaya (PPj) memberi jaminan masalah penduduk di Projek Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Melinjau di sini akan diselesaikan selepas siasatan yang dilakukan dalam tempoh tiga minggu bagi pembaikan kecil di bawah projek-projek kecil.

Presidennya, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain berkata, tempoh itu bagi megadakan mesyuarat penyelarasan penyelesaian jangka pendek sebelum kerja-kerja baik pulih di kawasan awam dan pembaikan di unit kediaman yang didiami lebih 600 pemilik itu bermula.

Pihak terlebih dahulu akan mendapatkan senarai kerosakan yang berlaku selain menentukan anggaran kos yang akan digunakan bagi kerja-kerja penyenggaraan semula.

Katanya, apa yang berlaku di PPAM Melinjau terbahagi kepada tiga kategori iaitu struktur bangunan, kawasan arahan dan kerosakan yang berlaku di unit-unit kediaman pemilik masing-masing.

“Perbadanan Putrajaya telah mendapatkan kerjasama daripada JKR (Jabatan Kerja Raya) berkaitan struktur bangunan dan kita sudah hantar surat kepada JKR semalam. Pihak JKR akan buat pengesahan daripada segi struktur bangunan.

“Kategori kedua berkaitan comman area (kawasan awam). Saya sudah minta pegawai PPj bersama penduduk untuk menyenaraikan kerosakan-kerosakan yang berlaku.

“Selepas kita dapat senarai kerosakan itu dalam masa seminggu, kita akan duduk bersama KPKT (Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan) dan juga pemaju,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat pada hari pertama beliau sebagai Presiden PPj hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai rungutan lebih 600 pemilik unit PPAM Melinjau di sini apabila berdepan dengan masalah struktur bangunan kediaman tidak sempurna serta tidak mengikut spesifikasi pembinaan sejak setahun lalu.

Menurut Muhammad Azmi lagi, pelaksanaan bagi kerja-kerja pembaikan untuk jangka pendek dan panjang akan dibahagikan dengan pihak yang berkenaan selepas itu.

Sebelum itu, pemilik turut mendakwa, walaupun PPAM Melinjau sepatutnya siap dibina tiga tahun lalu namun pemaju masih gagal menyerahkan unit rumah mampu milik itu dalam keadaan sempurna daripada segi binaan mengikut spesifikasi pembinaan.

Ketika ditanya sama ada penghuni akan diminta keluar daripada kediaman masing-masing ketika pembaikan, Muhammad Azmi berkata, ia tidak mungkin berlaku kerana kerosakan tersebut tidak melibatkan aspek yang boleh mengancam keselamatan.

Tambah beliau, bagi kerja-kerja membaik pulih bangunan tersebut ia akan menggunakan peruntukan yang diambil daripada pemaju melalui tuntutan bagi Tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP).

Dalam perkembangan lain, Muhammad Azmi berkata, pihaknya akan memberi penekanan dengan memperbanyakkan pembinaan rumah-rumah berharga di bawah RM200,000 di sekitar Putrajaya.

Katanya, langkah itu sejajar dengan saranan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang mahu agar diperbanyakkan lagi rumah mampu milik dengan harga tersebut di sekitar kawasan pusat pentadbiran kerajaan itu.

Terdahulu, Muhammad Azmi Mohd Zain hadir di pejabatnya di Perbadanan Putrajaya kira-kira pukul 8.30 pagi tadi untuk memulakan tugas sebagai Presiden PPj yang baharu untuk tempoh dua tahun.

Beliau sebelum ini bertugas sebagai Setiausaha Bahagian (Bahagian Sosio Ekonomi) Kementerian Wilayah Persekutuan dan kemudian memegang portfolio itu bagi menggantikan Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Pelantikan Muhammad Azmi sebagai Presiden PPj telah mendapat persetujuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam.
– MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Duduk Putrajaya tapi ‘derita’ rumah rosak