Penduduk menunjukkan saluran najis yang rosak ketika tinjauan Malaysia Gazette di Projek Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Melinjau di Presint 11, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 21 SEPTEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Bagai jatuh ditimpa tangga!

Begitulah nasib lebih 600 pemilik unit Projek Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Melinjau di sini yang berdepan masalah struktur bangunan kediaman tidak sempurna dan mengikut spesifikasi pembinaan sejak setahun lalu.

Walaupun PPAM Melinjau sepatutnya siap dibina tiga tahun lalu namun pemaju masih gagal menyerahkan unit rumah mampu milik itu dalam keadaan sempurna daripada segi binaan mengikut spesifikasi pembinaan.

Sebaliknya 600 pembeli unit PPAM merasakan diri mereka tertipu apabila pemaju hanya menyerahkan setahun lalu tanpa dibenarkan melihat unit rumah terlebih dahulu sebelum penyerahan kunci.

Tinjauan Projek Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Melinjau di Presint 11, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 21 SEPTEMBER 2020.

Tinjauan MalaysiaGazette ke PPAM Melinjau yang terletak di Presint 11 di sini mendapati apa yang didakwa oleh pemilik unit rumah terbabit berasas.

Malah ia satu kejutan kerana masih terdapat projek perumahan untuk penjawat awam bermasalah dalam kawasan pusat pentadbiran kerajaan Malaysia.

Sebaik sahaja melangkah ke kawasan perumahan itu, keadaan cat bangunan PPAM Melinjau agak kusam seolah-olah berusia 10 tahun lalu berbanding apartmen di sebelahnya yang jauh lebih cantik dan berwajah baharu.

Penduduk menunjukkan struktur yang rosak ketika tinjauan di Projek Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Melinjau di Presint 11, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 21 SEPTEMBER 2020.

Dimaklumkan, ketika kunci rumah diserahkan kepada 600 pembeli rumah PPAM pada Ogos lalu, pihak pemaju hanya menggunakan cat lapisan bawah (under coat) untuk mengecat keseluruhan luar bangunan.

Lebih memeranjatkan apabila struktur utama bangunan PPAM iaitu tiang bangunan kelihatan tidak sekata dan saiz tidak sama dari tapak asas hingga ke palang setiap tingkat perumahan itu.

Timbul pelbagai persoalan sejauh mana pekerja binaan mempunyai kemahiran mengikat batu dan melepa simen di dinding keseluruhan bangunan perumahan penjawat awam itu susulan hasil kerja tidak memuaskan.

Penduduk menunjukkan struktur yang tidak ikut spesifikasi di Projek Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Melinjau di Presint 11, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 21 SEPTEMBER 2020.

Dari siar kaki hingga ke bumbung, boleh dikatakan kualiti pembinaan gagal mematuhi piawaian dan spesifikasi bangunan yang ditetapkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Antara struktur yang rosak ketika tinjauan di Projek Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Melinjau di Presint 11, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 21 SEPTEMBER 2020.

Selain itu, penutup longkang dan pintu rintangan api yang tingkat bawah salah satu blok PPAM didapati ke lihat uzur, berkarat dan pecah – seolah-olah berusia 10 tahun sedangkan kawasan itu baru diduduki penghuni sejak setahun lalu.

Menurut salah seorang penduduk yang tidak mahu dikenali, pemaju dipercayai menggunakan bahan dan barangan terpakai termasuk besi penutup longkang dan pintu rintangan api untuk menjimatkan kos pembinaan.

Selain itu, sistem perparitan juga tidak dibina dengan sempurna di mana ada kesan-kesan simen berlebihan dan bertaburan di tepi penutup longkang di parkir kereta kawasan perumahan itu.

Tidak kurang pula ada beberapa longkang kecil dibina tidak mengikut spesifikasi bangunan malah terlalu kecil untuk mengalirkan air yang bertakung di kawasan pakir kereta setiap kali hujan lebat.

Antara tempat parkir yang dipenuhi air di Projek Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Melinjau di Presint 11, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 21 SEPTEMBER 2020.

Turut terjejas adalah paip kumbahan yang kerap kali bocor dan ada kes hingga ia pecah hingga memasuki unit rumah dan parkir kereta.

Tinjauan juga mendapati salah satu paip kumbahan disimen dan ditanam di dalam tiang utama bangunan hingga menyukarkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

Dalam pada itu, lif penumpang juga tidak menepati spesifikasi bangunan di mana Sijil Perakuan Kelayakan telah tamat tempoh sejak beberapa bulan lalu.

Penduduk menunjukkan keadaan lif di Projek Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Melinjau di Presint 11, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 21 SEPTEMBER 2020.

Malah lif penumpang kelihatan tidak diselenggara dengan baik dan kotor kerana dinding lif diletakkan papan nipis dipercayai dilakukan oleh pekerja binaan.

Sehubungan itu, keadaan keseluruhan bangunan PPAM Melinjau boleh digambarkan sebagai sangat mengecewakan dan memalukan apatah lagi dikelilingi dengan bangunan kerajaan yang gah namun tidak selari dengan temanya Putrajaya Vibrant, Bandar Pintar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast