Mohammad Amir Hatami

TEHRAN – Menteri Pertahanan Iran Mohammad Amir Khatami berkata dengan penamatan sekatan senjata, Tehran merancang untuk menjual lebih banyak produk ketenteraan berbanding membelinya, lapor Agensi Berita Sputnik.

Sehari sebelum itu, Iran berkata sekatan senjata Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Tehran tidak lagi dikenakan dan negara ini tidak terikat dalam menentukan pergerakan persenjataan di sempadannya.

“Sejak tahun lalu, banyak negara sudah menghubungi kami dan kini giliran kami, mengadakan siri rundingan dengan beberapa negara. Sudah tentu, kami akan menjual lebih banyak berbanding yang kami beli,” kata menteri itu di saluran televisyen IRINN.

Beliau turut mendedahkan bahawa Iran sudah banyak mencipta kejayaan dalam penghasilan peralatan ketenteraan, walaupun dikenakan sekatan. Menurutnya, “musuh menyedari” Iran mempunyai “kekuatan peluru berpandu” dan “antara lima peneraju” dalam pembuatan dron di dunia.

Terdahulu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo berkata Washington bersedia mengenakan sekatan ke atas mana-mana individu atau entiti yang menyumbang kepada pembekalan atau penjualan senjata dengan Iran.-BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast