Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Kerajaa digesa agar memperhalusi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya memperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti  dilaksanakan ketika gelombang pertama dan kedua Covid-19 tempohari.

Ini kerana dengan memperketatkan PKPB ia boleh melandaikan lengkungan kes Covid-19 harian, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

Beliau berkata, PKPB juga tidak merencatkan kegiatan ekonomi kerana sesiapa sahaja dibenarkan berniaga.

“Namun, aktiviti sosial perlu dihentikan kerana kebolehjangkitan adalah tinggi. Mengapakah pusat-pusat hiburan masih dibuka sewenang-wenangnya? ” soal beliau menerusi kenyataan hari ini.

Justeru beliau berkata, DPIM mendesak Kerajaan Perikatan Nasional untuk memberikan fokus kepada penyelesaian isu rakyat berkaitan Covid-19.

“Kita lihat dengan jelas bahawa barisan hadapan di Sabah memerlukan sokongan daripada kerajaan persekutuan.

“Kemungkinan besar, kes harian mampu meningkat hingga empat digit dalam beberapa hari lagi berdasarkan unjuran R-Naught (Ro),” ujarnya.

Shahir turut mencadangkan supaya tenaga kerja barisan hadapan terutama di Sabah diperkasakan kerana mereka sudah keletihan dan sukarelawan dari sektor swasta turut diperlukan.

Katanya, peruntukan elaun harus diberikan tanpa kerenah birokrasi kepada semua pekerja barisan hadapan dan sukarelawan kerana ia terbukti bahawa seluruh barisan hadapan dan rakyat negara kita telah berjaya melandaikan penularan Covid-19 pada peringkat awal sehingga diiktiraf antara negara terbaik di dunia dalam mengekang wabak ini.

“Jangan sia-siakan jasa dan pengorbanan rakyat yang telah memberikan jiwa dan raga mereka untuk negara,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu melanjutkan tempoh moratorium sehingga Mac 2021 kerana gelombang ketiga ini menyebabkan PKPB terpaksa dilaksanakan sekaligus mengakibatkan beberapa sektor industri menjadi semakin tenat.

Ia ditambah lagi apabila ribuan pekerja diberhentikan terutama mereka yang terlibat dalam sektor penerbangan dan industri pelancongan.

“Ketiga, Pampasan secara ‘one-off’ perlu diberikan kepada pelajar-pelajar di pendidikan tinggi yang telah berulang alik untuk pendaftaran pengajian mereka.

“Dan keempat, bantuan bersasar kepada golongan rakyat B40 di negeri-negeri yang dikenakan PKPB, seperti Sabah dan Selangor, tambahnya.

Beliau turut mengingatkan agar tidak ada pihak bermain sentimen politik pada waktu getir ini kerana keselamatan rakyat perlu dijadikan keutamaan.

Jelasnya, membangkang harus kena pada tempat dan waktunya dan bukannya secara semberono kerana ia hanya menunjukkan kedangkalan pemimpin dalam memperjuangkan nasib rakyat. – MalaysiaGazette