Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Kes positif Covid-19 terus mencecah jumlah melebihi 800 dengan yang terbaharu hari ini sebanyak 862 kes.

Tiga hari lepas jumlah kes baharu pandemik itu juga mencatatkan angka melebihi 800 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat pertambahan tiga kes kematian dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif yang meninggal dunia akibat itu di negara ini sebanyak 193 kes.

Pertambahan kes baharu yang dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif yang dikesan iaitu 22,225 kes.

“Negeri Sabah masih mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 673 kes atau 78.1 peratus. Lebih banyak ujian makmal RT-PCR telah dapat dijalankan di Sabah serta dihantar ke Semenanjung Malaysia.

“Secara keseluruhan, sebanyak 235 kes atau 27.3 peratus pada hari ini adalah daripada Kluster Penjara Kepayan dan Kluster Tembok. Kes-kes ini sememangnya terasing di dalam penjara dan tidak menjangkiti masyarakat,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya hari ini.

Noor Hisham berkata, berikutan kepadatan penduduk dan kadar pergerakan penduduk yang tinggi, Selangor terus mencatatkan pertambahan kes dan kluster baharu setiap hari.

Hari ini, Selangor mencatatkan pertambahan sebanyak 132 kes dan daripada jumlah itu, 84 kes adalah daripada kluster-kluster sedia ada termasuk lapan kes dari kluster-kluster yang berkaitan dengan sejarah perjalanan pulang dari Sabah.

Tambah Noor Hisham, daripada 862 kes baharu itu dua kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara melibatkan satu warganegara dan satu kes lagi bukan warganegara iaitu dari negara Mesir dan Indonesia.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga kini, terdapat 95 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 29 kes memerlukan bantuan pernafasan. – MalaysiaGazette