Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang menuding jari kepada mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman sebagai punca mengapa berlakunya gelombang ketiga pandemik Covid-19 ketika ini.

Saya akan katakan jika ada sesiapa di Sabah yang perlu bertanggungjawab terhadap gelombang ketiga wabak ini, orang tersebut adalah Musa Aman,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri dalam blognya hari ini.

Kit Siang juga mendakwa keadaan Sabah yang mundur dan dihantui pelbagai isu selama Musa menjadi Ketua Menteri lebih 15 tahun.

“Musa telah meneruskan dasar yang menyebabkan Sabah negeri terkaya dengan hasil sumber di Malaysia, kekal sebagai negeri termiskin dalam negara.

“Baik dari segi kadar kemiskinan dan juga pembangunan infrastruktur di negeri tersebut sehingga berlakunya insiden di mana pelajar dari Pitas, Veveonah Mosibin meluangkan masa selama 24 jam di atas pokok untuk mendapatkan sambungan internet,” katanya lagi.

Menurut Kit Siang, dalam tempoh selama 15 tahun beliau menjadi ketua menteri, Musa mempunyai lebih daripada cukup masa untuk memenuhi janji PRU tahun 1994 yang dibuat oleh UMNO Sabah untuk sebuah Sabah Baharu.

“Apakah yang telah dilakukan oleh Musa untuk memenuhi janji ini, walaupun tahun 2000 telah pun datang dan pergi?

Fakta yang menyedihkan sehingga hari ini, kadar sifar kemiskinan di Sabah ini kekal sebagai satu angan-angan kosong memandangkan Sabah masih lagi tergolong dalam negeri yang termiskin dalam negara,” katanya.

Jelas Kit Siang, peningkatan jangkitan Covid-19 yang lebih daripada 19 kali ganda dan peningkatan kadar kematian lebih daripada lapan kali ganda dalam tempoh kurang daripada dua bulan sungguh mengejutkan.

“Ini terutamanya memandangkan semasa negara kita mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac jumlah kes terkumpul dalam negara hanya berada pada tahap 790 kes dan dua kematian.

“Adakah Musa bersetuju bahawa perkara ini adalah satu akibat tindakan politik tidak bertanggungjawab yang menghampiri perbuatan kecuaian jenayah?

“Walaupun Sabah kini menjadi pusat penularan utama gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia (Selangor, negeri kedua, mencatatkan 3,357 jangkitan dan 25 kematian), Perdana Menteri dan Jemaah Menteri terus sibuk dengan perebutan kuasa.

“Mereka tidak menyalurkan semua sumber yang ada untuk membantu usaha memerangi Covid-19 di Sabah,” ujarnya.

Tan Sri Musa Aman. foto HAZROL ZAINAL, 17 SEPTEMBER 2020.

Sambung Kit Siang, punca krisis Covid-19 adalah bermula dari ‘Langkah Sheraton’ pada Februari sehingga tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya telah katakan sebelum ini, dan saya berpegang dengan pendapat saya yang punca krisis Covid-19 di Malaysia ini adalah Langkah Sheraton pada bulan Februari lepas yang telah menumbangkan PH.

“Ini juga sekaligus menyebabkan berlakunya gelombang kedua dan ketiga wabak Covid-19, sehingga mencatatkan 21,363 jangkitan dan mengorbankan 190 nyawa di seluruh negara setakat hari ini,” dakwanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.