Setiausaha Agung Armada Malaiu Malaysia, Nazri Che Arr bercakap kepada wartawan selepas membuat 2 laporan polis berkaitan penghinaan terhadap institusi beraja dan surat sokongan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. foto ISKANDAR HAMIDI, 20 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Penafian UMNO terhadap penularan surat sokongan presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular minggu lalu tidak memadai.

Setiausaha Agung Armada Malaiyu Malaysia, Nazri Che Arr berkata, walaupun surat itu dikatakan palsu namun polis perlu membuktikan sejauh mana penafian itu berasas.

Pihak yang menyebarkannya di media sosial juga perlu disiasat, katanya.

“Laporan polis ini dibuat bagi menuntut pihak polis agar menyiasat ketulenan atau keaslian surat tersebut yang
dinafikan oleh UMNO sendiri dan kesan-kesan kepada umum sekiranya kesahihan surat itu dipertikaikan oleh
pelbagai pihak.

“Kami nak tahu siapa yang tularkan surat itu. Tiap kali ada isu besar, perkara ini umpama disapu di bawah karpet.

“Tiada sesiapa diambil tindakan. Esok lusa siapa lagi nak buat surat sokongan (kepada Anwar), menyusahkan rakyat,” katanya kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Sabtu lalu, tular di media sosial surat sokongan kepada Anwar yang menggunakan kepala surat pejabat Presiden UMNO yang didakwa ditandatangani sendiri oleh Ahmad Zahid dan disokong oleh Penasihat Barisan Nasional (BN) yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Surat itu antara lain mendakwa Ahmad Zahid dan Najib bersama kesemua ahli Dewan Rakyat daripada UMNO menarik balik sokongan daripada Tan Muhyiddin Yassin dalam Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya surat itu menyatakan mereka juga memberi sokongan sebulat serta tidak berbelah bahagi kepada Anwar untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

Malah surat itu juga telah dialamatkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertarikh 11 Oktober 2020. – MalaysiaGazette