Antara rokok seludup yang berjaya dirampas sepanjang Op Khas JOL/PATI/PREMIS HARAM di Ibu Pejabat Daerah Shah Alam, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 24 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pusat perlu mengambil langkah drastik dan meluas dalam menghentikan pasaran rokok seludup demi memastikan kelangsungan hidup perniagaan runcit dan kedai kopi di seluruh negara.

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura (MSCSPGA), Datuk Ho Su Mong berkata, seruan itu dibuat selepas laporan terbaharu meletakkan Malaysia sebagai negara pasaran rokok seludup terbesar di dunia.

Kata beliau, pihaknya kecewa dengan pendedahan itu namun tidak terkejut.

“Seluruh sektor peruncitan termasuk perniagaan kedai kopi di Malaysia sejak bertahun-tahun lamanya sudah menderita kerugian akibat aktiviti jual beli rokok seludup.

”Tahun demi tahun kami melihat pelanggan semakin kurang membeli produk tembakau yang sah. Dalam situasi pelanggan terus beralih kepada produk tidak sah yang murah sebagai alternatif, maka kadar pengambilan rokok seludup terus meningkat seperti yang dicatatkan ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, hari ini, lebih daripada 65 peratus daripada keseluruhan pasaran tembakau negara merupakan rokok seludup.

Dalam situasi ekonomi semasa yang mana perbelanjaan rakyat terjejas, adalah tidak mengejutkan untuk menyaksikan kadar ini meningkat sehingga melebihi 70 peratus.

Situasi ini hanya akan menambah beban kepada perniagaan rokok yang sah, ramal Ho.

Ujarnya, alasan utama mengapa ramai pengguna beralih kepada rokok seludup adalah kerana jurang perbezaan harga yang terlalu besar dengan rokok yang sah.

Harga rokok seludup adalah terlalu murah berbanding rokok sah, bergantung kepada tempat.

Katanya, sekotak rokok seludup boleh dibeli serendah RM3.50 manakala rokok sah berjenama dijual lima kali ganda lebih mahal

Beliau menambah, krisis Covid-19 yang berterusan juga memberi tekanan kepada banyak perniagaan sehingga ke tahap bankrap, sekali gus memerlukan isu rokok seludup ditangani bagi mengelak kerugian dari segi pulangan hasil dari sumber utama.
Untuk memastikan kelangsungan perniagaan perlu menjadi keutamaan kepada Kerajaan Pusat dalam mempertahankan ekonomi negara.

Lantaran itu, untuk Bajet 2021 akan datang, MSCSPGA mendesak kerajaan melaksanakan langkah-langkah komprehensif dan efektif untuk menangani faktor permintaan dan tawaran yang telah mendorong kepada pertambahan mendadak rokok seludup di Malaysia hari ini.

”Polisi yang dirancang perlu melangkaui langkah penguatkuasaan semata-mata dan penyelesaian yang dapat menangani faktor permintaan kepada rokok seludup perlu dipertimbangkan, termasuk semula rumusan percukaian ke atas produk tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette