Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Mahfodz Mohamed
Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Mahfodz Mohamed

KUALA LUMPUR – Langkah UMNO dan Pas yang memutuskan untuk terus mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) dengan mendaftarkan gabungan itu secara rasmi kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) jelas mencerminkan komitmen kedua-dua parti dalam memartabatkan perjuangan membela agama, bangsa dan negara.

Pengerusi Sidang Assabiqun Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, apa yang dilakukan oleh kedua-dua parti sememangnya termeterai dalam piagam MN.

“Sidang Assabiqun Pas yakin dan percaya dengan keputusan yang dicapai bersama itu membuktikan kepada musuh politik bahawa mereka tidak akan berjaya untuk memecah belahkan perpaduan antara UMNO dan Pas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mahfodz berkata, dalam masa sama kedua-dua parti akan terus berta’awun lebih akrab lagi demi mengukuhkan ukhuwah Islamiyah dan memantapkan jentera pilihan raya.

“Semoga MN dan kumpulan yang sealiran dengannya dapat mencapai kejayaan dalam PRU15 akan datang,” ujarnya. – MalaysiaGazette