CEO CJ Logistics, Park Keun-hee menundukkan kepala sebagai tanda meminta maaf susulan kematian kakitangan penghantaran. foto Agensi

SEOUL – Seramai 14 pekerja penghantaran di Korea Selatan meninggal dunia kerana terlalu banyak bekerja tahun ini.

Mereka terpaksa berdepan dengan jumlah bungkusan yang jauh lebih tinggi kerana wabak koronavirus.

Dalam kejadian terbaharu pada minggu ini, seorang pekerja CJ Logistics Corp rebah ketika berehat pada malam Selasa dan kemudian meninggal di hospital, menurut seorang pegawai kesatuan yang mewakili pekerja penghantaran.

Jumlah pekerja yang mati itu juga termasuk seorang pekerja yang membunuh diri setelah meninggalkan catatan mengenai keadaan buruk yang ditanggungnya, kata pegawai itu.

Salah satu kematian itu disebabkan oleh kegagalan jantung sementara kematian lain hanya digambarkan sebagai ‘kwarosa’ oleh keluarga, istilah Korea yang digunakan untuk kematian mendadak akibat kegagalan jantung atau strok akibat kerja keras yang melampau.

CJ pada hari Khamis mengeluarkan permintaan maaf susulan kematian lima pekerjanya, dan berjanji untuk memperbaiki pekerja kurier.

Firma logistik dengan 20,000 pekerja penghantaran itu memaklumkan pihaknya sedang membincangkan pampasan kepada keluarga pekerja.

”Sebagai ketua eksekutif syarikat saya merasa bertanggung jawab atas sejumlah kematian kurier dan meminta maaf kerana menimbulkan kebimbangan kepada mereka,” kata Ketua Eksekutif CJ Logistics, Park Keun-hee pada sidang akhbar.

Kematian itu mencetuskan pengawasan masyarakat mengenai struktur pekerjaan yang rumit dan sama ada syarikat gagal memastikan keadaan kerja yang wajar bagi pekerja.

Awal minggu ini, Presiden Moon Jae-in meminta penambahbaikan keadaan kerja bagi pekerja penghantaran, dengan mengatakan mereka telah mengalami beberapa kesulitan terburuk di bawah pandemik.

Syarikat penghantaran yang lebih kecil Hanjin Transportation juga membuat permohonan maaf minggu ini atas kematian seorang pekerja kurier dan berjanji untuk mengurangkan beban kerja bagi pekerjanya.

CJ pula mengatakan ia akan menambah lebih banyak pekerja dan memastikan semua mereka mendaftar untuk insurans kemalangan industri. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kat Malaysia pun ada syarikat begini tetapi ada yang sembunyikan oleh pihak pengurusan kerana takut perniagaan mereka terganggu.
    Tindakan Kerajaan dengan memastikan aduan pekerja disiasat dengan sepenuhnya dapat mengatasinya serta memastikan Rasuah drpd pengurusan kepada pegawai awam supaya kes2 begini tidak terjadi

Comments are closed.