Mohammed Azman Aziz Mohammed.

 

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjaya mengesan kegiatan sindiket scam yang menggunakan nama profil pegawainya dan memperdaya beberapa rakan rapat serta mengambil wang mereka menerusi satu akaun Maybank sindiket itu.

Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, salah laku sindiket itu dikesan selepas menerima aduan mengenai penyamaran (scammer) sebagai Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan dalam aktiviti penipuan terhadap orang ramai.

Jelas beliau, kegiatan pihak yang tidak bertanggungjawab ini mencemar usaha Perkeso yang giat melaksanakan pelbagai program pasaran buruh aktif dalam usaha membantu Orang Berinsurans PERKESO dan rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan kesan daripada krisis Covid-19.

Menurutnya, antara aktiviti yang dijalankan oleh Perkeso, menerusi Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) termasuk hebahan jawatan-jawatan kosong yang didaftarkan di Portal Pekerjaan Nasional iaitu MYFutureJobs, edaran poster-poster bengkel kebolehpasaran, maklumat program-program latihan dan temuduga-temuduga terbuka yang diadakan sama ada di pejabat-pejabat PERKESO atau lokasi-lokasi terpilih di seluruh negara.

“Dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti ini, Perkeso secara telus berkongsi nama dan
nombor telefon Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan kami bagi memudahkan orang ramai
berhubung dan mendapatkan maklumat jelas berkaitan perkhidmatan yang disediakan
Perkeso.

“Namun begitu, penyebaran maklumat berkaitan pelbagai perkhidmatan Perkeso di
media sosial telah menarik perhatian scammer di luar sana untuk menjalankan aktiviti
penipuan dengan menyamar sebagai Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso.

“Sehubungan itu, satu laporan polis berkenaan aktiviti penipuan scammer telah dibuat
semalam (21 Oktober 2020), jam 10.03 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, laporan polis telah dibuat oleh pegawai mereka, Khairul Ammar Hashim berhubung profail dan nombor telefon beliau yang telah digunakan oleh scammer untuk menipu beberapa rakan sekerja.

Tambahnya, modus operandi sindiket scam itu adalah menghubungi beberapa orang rakan sekerja Khairul ‘Ammar dan meminta supaya sejumlah wang dipindahkan ke Akaun Maybank milik Muhd Nur Azami bin Manila.

“Yang mengejutkan adalah seorang rakan sekerja beliau telah diperdaya dan memindahkan RM500 ke pemilik akaun ini selepas diminta oleh penyamar tersebut atas alasan tidak boleh akses online banking,” ujar beliau.

Beliau menasihatkan semua Orang Berinsurans Perkeso, para majikan, orang ramai dan pegawai-pegawai Perkeso sendiri supaya lebih berhati-hati dengan taktik scammer itu agar tidak mudah tertipu dengan kegiatan yang makin berleluasa.

“Sila dapatkan kepastian dan membuat aduan kepada Perkeso terlebih dahulu sekiranya ada pihak-pihak tertentu yang meminta bayaran ke atas perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh Perkeso.

“Sekali lagi saya tegaskan, semua bantuan faedah dan perkhidmatan PerkesoM kepada Orang Berinsurans adalah Percuma dan kami tidak menggunakan orang tengah dalam menyampaikan bantuan dan perkhidmatan,” tegas beliau lagi.