Pengawal Keselamatan Sekolah Kebangsaan Bangsar, Maniam Sundaraj melekatkan notis ‘Perintah Tutup Premis’ dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan peningkatan kes Covid-19 semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 19 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta segera membuat ketetapan berhubung status sesi persekolahan tahun ini ekoran lonjakan kes Covid-19 dalam kalangan warga sekolah terutama para pelajar.

Langkah itu perlu kerana ibu bapa dan penjaga tertanya-tanya apakah status persekolahan ketika ini ekoran timbul beberapa kekeliruan, kata bekas Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohd Ali Hasan.

“Kita fahamlah kalau penutupan sekolah dilakukan di kawasan zon merah tetapi dalam situasi semasa penularan wabak ini masih berlaku walaupun sesebuah kawasan berada dalam zon hijau dan kuning.

“Pada masa sama kita juga bimbang jika ada keluarga pelajar yang tidak melaporkan tentang kes-kes Covid-19 yang berlaku dalam persekitaran mereka.

“Apatah lagi sekarang ini dilaporkan kes-kes Covid-19 mula menular di sekolah-sekolah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Semalam, Kementerian Kesihatan memaklumkan lebih 2,000 pelajar sekolah rendah dan menengah positif Covid-19.

Artikel berkaitan: 1,257 pelajar positif akibat gelombang ketiga Covid-19

Oleh itu, menurut Mohd Ali, MKN dan KPM perlu pantas membuat keputusan supaya sesi pembelajaran dan pengajaran tidak terganggu.

Beliau prihatin dengan keadaan ini terutama membabitkan pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan kerajaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta lain-lain.

Malah, dengan mengumumkan tindakan itu, program pembelajaran pelajar-pelajar lain juga dapat disusun dengan lebih teratur meskipun sesi persekolahan hanya berbaki kira-kira dua bulan lagi.

“Kalau keputusan dapat dibuat segera, maka KPM menerusi sekolah-sekolah sudah boleh merangka untuk menghabiskan silibus mata pelajaran melalui online.

“Ini pun satu masalah juga kerana ada kawasan tertentu capaian Internet sukar atau tidak konsisten, selain isu-isu lain. Sebab itu semuanya kena pantas bertindak supaya masalah-masalah dapat ditangani.

“Saya khuatir pandemik Covid-19 ini akan menjejaskan sesi pembelajaran dan pengajaran pelajar, akhirnya memberi kemudaratan kepada mereka kelak,” ujarnya.

Namun secara peribadi, Mohd Ali berpendapat adalah lebih baik KPM menutup semua sekolah sehingga keadaan terkawal semula.

Tetapi, cadangan ini terkecuali bagi pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam.

Malah, beliau turut berpendapat, KPM perlu menilai semula keperluan untuk menangguhkan tarikh peperiksaan itu jika ada keperluan berbuat demikian, memandangkan situasi yang tidak menentu sekarang ini pastinya mengganggu psikologi calon-calon SPM, STPM dan lain-lain.

“Sebab itu, MKN, KPM segeralah berbincang,” katanya. – MalaysiaGazette