Zinedine Zidane

MADRID – Zinedine Zidane masih enggan mengaku kalah meskipun pasukannya tewas mengejut pada aksi pembukaan Kumpulan B kepada Shakhtar Donetsk 2-3 dalam aksi di Stadium­ Alfredo De Stefano awal pagi semalam.

Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut buat pasukan The Galacticos di laman sendiri selepas dikejutkan oleh pendatang baharu Liga Sepanyol, Cadiz de­ngan kekalahan 0-1 minggu lalu.

Keputusan itu juga memberikan tekanan tambahan buat Zidane yang juga Ketua jurulatih Real Madrid, untuk merencanakan perancangan terbaik menjelang aksi penting La Liga bagi menentang Barcelona pada pertembungan El Clasico, awal pagi esok.

Menurut Zidane, masih ada ruang bagi memperbaiki pasukannya dan barisan pemain juga sedar dengan tekanan yang ada ketika ini selepas rentetan keputusan negatif yang dicatatkan.

“Saya tidak mahu menjadikan keputusan yang kami raih ketika ini sebagai alasan untuk rasa mengalah kerana masih ada peluang serta ruang yang boleh diperbaiki memandangkan saingan baru di peringkat awal musim.

“Barisan pemain juga perlu kekal positif, selain berusaha untuk elakkan kesilapan mudah seperti dua perlawanan lepas.

”Saya tahu mereka hilang keyakinan tetapi selepas ini kami akan bertemu Barcelona dan mereka harus kembali fokus,” katanya. – MalaysiaGazette