Semua institusi pendidikan di kawasan zon merah di daerah Seremban, Negeri Sembilan akan ditutup bermula 25 Oktober 2020 sehingga 9 November 2020.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Semua institusi pendidikan di kawasan zon merah di daerah Seremban, Negeri Sembilan akan ditutup bermula 25 Oktober 2020 sehingga 9 November 2020.

Keputusan itu melibatkan sebanyak 177 institusi pendidikan di seluruh daerah Seremban.

Kementerian Pendidikan berkata, bilangan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM, institusi pendidikan guru serta sekolah.

Sekolah dan institusi yang mempunyai asrama juga ditutup.

Berikutan itu, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang.

Bagaimanapun, murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa serta murid atau pelajar yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan institusi berkaitan sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden asrama.

Keperluan makan dan minum murid serta pelajar sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah dan institusi berkenaan.

Bagi murid-murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang telah dijadualkan sepanjang tempoh penutupan institusi pendidikan, mereka hendaklah mendapatkan surat dari sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.

Tambah KPM lagi. Sepanjang tempoh penutupan tersebut, pentadbir sekolah serta semua institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru-guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my.

Dalam hal ini, KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM.

Sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah dan institusi akan dibuat dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette