Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA LUMPUR – Tengku Razaleigh Hamzah terkejut dengan tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk pengisytiharan darurat dan mendakwa pelaksanaan cadangan itu akan memburukkan lagi ekonomi negara.

”Seandainya Perdana Menteri berjaya melaksanakan perintah darurat yang dicadangkan, sebagai seorang ahli ekonomi dan bekas Menteri Kewangan, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (dan bekas Pengerusi Bank Dunia dan IMF), saya boleh katakan ia memburukkan lagi ekonomi yang sudah terjejas teruk.

“Pelabur asing dan tempatan akan menjauhi kita. Keyakinan perniagaan akan merudum,” katanya dalam satu kenyatan sambil melahirkan rasa sayu menyaksikan rakyat terpaksa bergelut dengan kepayahan, kesusahan dan penderitaan akibat penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu menambah, beliau bukannya mahu mempersoalkan hak Muhyiddin untuk memohon pengisytiharan itu daripada Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Cuma mempersoalkan dasar, rasional, waktu dan motif sebenarnya memandangkan negara sekarang menghadapi krisis penjagaan kesihatan awam yang sangat mempengaruhi kehidupan dan ekonomi rakyat, yang mana kerajaan mungkin tidak menguruskan krisis dengan sebaik mungkin demi kepentingan umum.

”Saya tidak dapat melihat asas yang jujur ​​untuk permohonan seperti itu sebaliknya mengesyaki motif yang tidak jujur,” ujarnya.

Tengku Razaleigh berkata, beliau mempunyai sebab-sebab untuk mempercayainya kerana Perdana Menteri dan Kabinetnya tidak lagi mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

Malah, tindakan Muhyiddin yang enggan membenarkan pembentangan usul tidak percaya dalam sidang Dewan Rakyat membuktikan beliau tidak mempunyai majoriti.

Sebelum ini, pejabat Tengku Razaleigh telah mendedahkan surat beliau kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang meminta usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri diberi keutamaan pada sidang akan datang.

Permintaan itu, katanya, seiring dengan prinsip-prinsip Sistem Demokrasi Berparlimen, yang mana Perlembagaan adalah yang tertinggi dan di atas ketetapan Peraturan Mesyuarat dan pihak berkuasa Dewan jauh lebih tinggi daripada seorang menteri.

“Oleh itu, inisiatif saya dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak harus dilihat sebagai kepentingan diri saya atau saya ada minat untuk jawatan Perdana Menteri.

“Tetapi tetapi ia sebagai mempertahankan prinsip sistem Parlimen,” tegasnya.

Dakwanya, sekiranya benar Muhyiddin memohon darurat diisytiharkan, ini bermakna beliau mahu menyelamatkan kedudukannya tanpa proses semak dan imbang.

Mengenai pengurusan pandemik Covid-19, Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, pendekatan kerajaan yang begitu teratur serta berkesan di peringkat awal pandemik itu kini kelihatan kurang terurus sehingga ternampak kelemahan di sana sini. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Tugas PM sudah selesai jumpa YDPA utk diadakan darurat covid19, sekarang terpulang kepada kebijaksanaan YDPA, kalau hendak di adakan PRU pun bukan salah Muhyidin dah. Jadi filir2lah ahli politik adakah anda sanggup menjadi seperti safie apdal penyebab kerosakan Sabah.

  2. Betul tu…bubar kan jer parlimen…buat PRU…rakyat pandai2 laaa nak hidup..padai korang lah nak selamat dari Covic mcm mana….bodoh punya Kuli…ko ni dah tak relevan laaaa..UMNO pun tolak ko…rakyat pun tak sokong ko…

Comments are closed.