Seorang pegawai KPDNHEP memeriksa harga barangan di sebuah premis di Selangor. Gambar ihsan: KPDNHEP

KUALA LUMPUR – Barang keperluan asas borong dan runcit di Selangor berada pada tahap mencukupi dan stabil, kata Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, aktiviti perniagaan di pasaran juga dilaporkan terkawal dan tiada pembelian panik.

Menurutnya, penguat kuasa KPDNHEP di negeri yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diarah menjalankan pemeriksaan harian bagi memantau bekalan barangan asas.

“Di Selangor 280 premis peruncitan terpilih diperiksa bagi memantau tahap keberadaan 12 jenis barangan harian. Ia termasuk gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka.

“Turut dipantau ialah tujuh barangan di peringkat pemborong iaitu gula, tepung gandum, minyak masak, telur, beras, gas petroleum cecair dan ayam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Selain Selangor, turut terlibat dalam pemeriksaan itu ialah Putrajaya, Kuala Lumpur dan Sabah.

Pada masa sama, Iskandar Halim turut mengingatkan pengguna tidak risau terhadap bekalan barang keperluan sepanjang pelaksanaan PKPB.

“Pegawai penguat kuasa KPDNHEP sentiasa menjalankan pemeriksaan harian di seluruh negara bagi memastikan bekalan sentiasa berada di pasaran dengan harga munasabah untuk memenuhi keperluan pengguna,” ujarnya. – MalaysiaGazette