Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon memeriksa pemandu kenderaan ketika meninjau Operasi Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bandar Sri Permaisuri, Cheras. foto ISKANDAR HAMIDI, 24 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Jangan menyusahkan rakyat.

Itu yang selalu dipesan oleh Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon kepada pegawai yang bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR).

Baginya tidak wajar untuk menyusahkan golongan  yang mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB) yang akan mengakibatkan kesesakan lalu lintas. 

“Saya sudah pesan petugas saya jangan menyusahkan rakyat kalau mereka patuh SOP, sila beri jalan (beri mereka jalan),” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau terdahulu memantau Operasi Pematuhan PKPB yang dilakukan oleh pasukan polis IPD Cheras bersama-sama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Anggota Pertahanan Awam (APM) di Bandar Permaisuri.

Antara yang diperiksa adalah restoran, kedai serbaneka dan lain-lain.

Beliau turut mengambil kesempatan meninjau SJR yang dilakukan di kawasan berdekatan.

Mohamed Mokhsein berkata, masih ada kompaun yang dikeluarkan oleh IPD Cheras kerana kesalahan melebihi penumpang dalam kenderaan.

“Satu kompaun dikeluarkan baru-baru ini kerana membawa penumpang lebih. Dalam satu kereta ada empat orang. Empat orang tu kata ke rumah kawan,” katanya lagi.

Mohamed Mokhsein terdahulu memaklumkan sebanyak tiga SJR mobile (bergerak) dilakukan setiap hari di daerah Cheras. -MalaysiaGazette