.Bekalan vaksin Covid-19 dijangka mula diperoleh pada suku pertama tahun 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bekalan vaksin Covid-19 dijangka mula diperoleh pada suku pertama tahun 2021.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, keutamaan penggunaan vaksin bakal diberikan kepada para petugas barisan hadapan meliputi sektor kesihatan dan keselamatan seperti doktor, jururawat, polis, petugas penjara dan
imigresen.

Setakat ini, KKM telah berhubung dengan lapan calon vaksin yang kini berada di peringkat ujian klinikal fasa tiga.

Kedua-dua kementerian itu memaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Khairy Jamaluddin telah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas
Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) pertama kali secara bersama semalam.

JKJAV itu untuk memastikan bekalan vaksin kepada negara dapat diperoleh dengan segera, selamat dan sempurna bagi melindungi rakyat Malaysia daripada Covid-19 seterusya membantu
merancakkan kembali ekonomi negara.

Objektif penubuhan JKJAV memastikan bekalan vaksin Covid-19 diperoleh segera dengan MOSTI dan KKM bertindak sebagai jawatankuasa induk dalam merancang, melaksana dan
memantau keseluruhan strategi untuk pembekalan vaksin Covid-19 sehingga pelaksanaan program imunisasi dijalankan.

Dalam mesyuarat tersebut, beberapa jawatankuasa kecil turut dibentuk merentasi pelbagai kementerian dan agensi bagi melaksanakan tugasnya dalam pemilihan, pendaftaran, kelulusan, pengimportan, penstoran, logistik, pengangkutan, pengagihan dan pemberian vaksin.

Empat jawatankuasa kecil tersebut adalah Polisi Vaksinasi Kebangsaan dan Pemilihan Calon Vaksin Yang Sesuai; 2. Pendaftaran, Logistik dan Pembangunan Vaksin; Kewangan dan Perolehan serta 4. Komunikasi.

Selain itu, kerajaan sedang memuktamadkan rundingan dengan pihak Covax yang mempunyai sembilan calon vaksin di bawah Global Alliance for Vaccine and Immunisation (GAVI).

Katanya, kerajaan akan menyediakan peruntukan kewangan bagi tujuan pembelian vaksin melalui Tabung Covid-19 Kementerian Kewangan Malaysia.

Menurut kedua-dua kementerian, kerajaan komited untuk mendapatkan keputusan segera bagi perolehan vaksin Covid-19 bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam mendapatkan bekalan vaksin yang telah diluluskan dan terbukti selamat kelak. – MalaysiaGazette