KUALA LUMPUR -“Kami minta maaf kerana tidak dapat membesarkan Mohamad Arif atas sebab ekonomi”.

Demikian nota yang disyaki ditulis oleh individu tidak dikenali yang meninggalkan bayi lelaki yang diletakkan dalam kotak di hadapan pintu pagar Surau Nurul Huda, Kampung Sungai Kajang Baru di Tanjong Karang hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Seperintendan Ramli Kasa berkata, bayi itu ditemui Guru Besar Sekolah Agama Rendah Nurul Huda, Mohd Maidin Abdul Rahim.

“Kami menerima maklumat orang awam sekitar 7.35 pagi ini tentang penemuan bayi itu sebelum pasukan polis telah menghala ke tempat kejadian dan telah berjumpa dengan saksi (Mohd Maidin) yang menjumpai bayi tersebut.

“Hasil siasatan mendapati pengadu seorang apabila bergerak ke Surau Sungai Kajang Lama telah menemui satu kotak di tepi jalan pintu surau.

“Hasil pemeriksaan mendapati jumpa satu (seorang) bayi dengan pampers (lampin pakai dan buang) beserta satu nota yang berbunyi ‘Kami minta maaf kerana tidak dapat membesarkan Mohamad Arif atas sebab ekonomi. Kami memohon kepada sesiapa yang sanggup membesarkan dia, kami sangat-sangat berterima kasih’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ramli, Mohd Maidin kemudian memanggil orang ramai dan menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Bayi seberat tiga kilogram itu telah dibawa ke Hospital Tanjung Karang oleh saksi yang mana bayi tersebut kini berada dalam keadaan stabil dan sihat.

“Siasatan lanjut diteruskan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi dan individu bertanggungjawab meninggalkan bayi sebegitu sedang dikesan polis,” katanya. – MalaysiaGazette