Suasana di hadapan Pintu Utama Istana Negara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berikutan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Melayu di Istana Negara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 25 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Sejak Kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan mesyuarat khas Jumaaat lalu, pelbagai spekulasi timbul.

Ada yang mengaitkannya dengan rombakan Kabinet, tidak kurang juga membuat telahan Perdana Menteri akan mengumumkan darurat untuk memerangi pandemik Covid-19.

Tanda-tanya menjadi semakin kencang apabila Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayutuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang.

Rentetan daripada itu, Istana Negara mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa Seri Paduka akan membincangkan perkara-perkara yang dipersembahkan kepada baginda bersama Raja-Raja Melayu.

Hari ini, jam 2.30 petang Majlis Raja-Raja dijangka mengadakan pertemuan, dan tentunya rakyat Malaysia mahukan penjelasan tentang apa sebenarnya yang akan diumumkan kerajaaan kerana ia pasti melibatkan urusan seharian.

MalaysiaGazette yang meninjau suara rakyat di sekitar Kuala Lumpur mendapati wujud elemen kerisauan di kalangan mereka lantaran tidak pasti apa yang akan berlaku dalam keadaan kerajaan sudah pun melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

ZAMZURI OTHMAN

Pekerja swasta, Zamzuri Othman, 46, menyatakan kerisauannya jika benar-benar ‘darurat’ akan diisytihar dalam masa terdekat.

“Darurat ini diumum jika ada perkara yang membahayakan, merisaukan. Sebagai rakyat sudah tentu risau. Kalau cakap pasal darurat mesti akan ada sesuatu yang bakal berlaku jadi memang agak menakutkan kalau kata darurat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sementara itu, Kamal Derum, 50, turut berkongsi apakah maksud darurat yang difahaminya dengan mengatakan bahawa negara sedang berhadapan masalah perebutan kuasa dalam kalangan ahli politik.

Tambahnya, perebutan kuasa turut menjadi salah satu faktor penyumbang kepada peningkatan jumlah kes positif Covid-19 secara mendadak.

KAMAL DERUM

“Yang saya faham tentang darurat, buat masa sekarang ini mengenai masalah rebut kuasa, untuk menstabilkan keadaan, berkemungkinan Yang di-Pertuan Agong akan buat satu keputusan supaya permasalahan perebutan kuasa ini tidak berlaku.

“Covid-19 juga merupakan antara salah satu masalah kerana orang politik ini mereka terlalu sibuk berebut kuasa hingga mahukan pilihan raya. Bila pilihan raya berlaku di Sabah, bawa (Covid-19) ke Semenanjung. Dah berapa ramai kena (jangkitan Covid-19).

“Sekarang kita tengok peniaga, kasihan tiada orang datang beli.

“Tak habis-habis orang politik saling salahkan sesama sendiri, bukan nak fikirkan pasal kesihatan dan masalah rakyat, asyik bergaduh. Bila bergaduh ini lah terjadi. Tengok keadaan sekarang tiada orang, kasihan mereka yang berniaga bagaimana mahu cari makan,” ujarnya.

AZHAR AHMAD

Dalam pada itu, seorang peniaga, Azahar Ahmad, 58, berkata, berdasarkan keadaan semasa, ‘darurat’ lebih merujuk kepada keselamatan dalam negara dan menjaga kebajikan rakyat daripada penyakit yang boleh berjangkit.

“Bukan kata huru hara politik. Lebih kepada merujuk keselamatan dalam negara, kebajikan rakyat dan penyakit yang boleh berjangkit. Lebih kepada untuk menyelamatkan nyawa rakyat daripada wabak Covid-19 ini.

“Kerajaan perlu buat rakyat faham tentang keadaan semasa manakala rakyat pula perlu lebih bersatu padu untuk membasmi jangkitan Covid-19 ini. Jangan asyik bertelagah tentang isu-isu lain. Rakyat perlu bersatu tak kira bangsa, warna kulit mahu pun parti,” katanya. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Tahniah. Nampaknya rakyat marhaen mcm kami ni lebih faham keperluan jika gomen isytihar darurat berbanding org org politik yg rata rata tua bangka tp otak mcm budak budak mentah. Boleh kata semua org politik berfikiran darurat itu suatu alat yg akan disalahguna oleh Muhyidin demi halang bajet ditolak la, elak PN tumbang lah. Xdak guna betoi otak depa.

Comments are closed.