Petugas Sunway Medical Centre menggunakan cecair semburan selepas melakukan proses ujian saringan Covid-19 melalui Cov Shield kepada orang ramai yang hadir bagi membuat saringan bersasar bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sunway Medical Centre, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 23 OKTOBER 2020

PUTRAJAYA – Sebanyak 1,240 kes baharu Covid-19 telah dilaporkan hari ini, sekaligus muncul kes harian tertinggi sejak permulaan pandemik.

Berikutan itu, jumlah kes positif di Malaysia meningkat kepada 27,805 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 9,744 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 1,240 kes baharu itu, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang melibatkan bukan warganegara.

Ia menurutnya, mereka yang tiba dari Rusia iaitu satu kes di Selangor dan Ukraine adalah satu kes di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Pada hari ini, Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 927 kes atau 74.8 peratus.

“Jumlah ini melonjak semula berikutan kes positif di Penjara Kepayan iaitu 439 kes.

“Ini berikutan lebih banyak pengesanan kes secara aktif dijalankan di negeri Sabah. Selain itu, mobilisasi petugas kesihatan telah banyak membantu usaha saringan di lapangan dan juga rawatan perubatan.

“Aspek logistik dan penghantaran sampel juga ditambahbaik bagi membolehkan keputusan ujian RTK-Ag dan RT-PCR dapat diperoleh dengan lebih cepat,” katanya pada sidang media harian di sini hari ini.

Dr. Noor Hisham menambah, negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan 194 kes atau 15.6 peratus dari jumlah keseluruhan kes.

Kata beliau, daripada 194 kes baharu itu, 120 kes atau 61.9 peratus adalah daripada kluster-kluster sedia ada dan baharu.

“Untuk makluman, negeri-negeri ini dan juga Sabah telah pun diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Sejumlah 508 kes atau 41 peratus pada hari ini adalah daripada Kluster Penjara Kepayan (439 kes), Kluster Seberang Perai (57 kes), Kluster Benteng LD (7 kes), Kluster Penjara Tapah (4 kes) dan Kluster Tembok adalah satu kes.

“Kes-kes ini sememangnya terasing di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.

Dr. Noor Hisham memberitahu, sehingga kini, terdapat 94 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 31 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Jelasnya, daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, terdapat pertambahan tujuh kes kematian berkaitan COVID-19.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 236 kes atau 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – MalaysiaGazette