Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap ketika sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 26 OKTOBER 2020

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesan tiga lagi kluster baharu pandemik Covid-19 pada hari ini di tiga negeri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster yang pertama adalah Kluster Kapor melibatkan daerah Kudat di Sabah.

Katanya, kes-kes bagi kluster ini telah dikenal pasti positif hasil saringan komuniti pelaut yang menetap di Kampung Tanjung Kapor dan telah mengesan sebanyak 46 kes positif pada 22 Oktober lalu.

“Kesemua kes telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kota Belud, Sabah.

“Sehingga pukul 12 tengah hari tadi, sejumlah 127 individu telah disaring di mana 46 kes dikesan positif iaitu 30 kes baharu dan 81 individu masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media harian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, kluster kedua melibatkan Kluster Hampar di daerah Rembau di Negeri Sembilan.

Kata beliau, kes indeks bagi kluster itu iaitu kes ke-23,736 telah dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 21 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Rembau.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti empat lagi kes positif Covid-19 dan sehingga pukul 12 tengah hari, sejumlah 578 individu telah disaring di mana lima kes dikesan positif iaitu empat kes baharu, 96 individu negatif dan 477 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Dr. Noor Hisham memberitahu, kluster ketiga pula adalah Kluster Penjara Tapah melibatkan daerah Batang Padang di Perak.

“Sebanyak 11 kes telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan yang dijalankan di Penjara Tapah bermula dari 12 Oktober lalu.

“Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan Hospital Teluk Intan.

Saringan kontak rapat telah mengenal pasti empat lagi kes positif Covid- 19 dan sehingga pukul 12 tengah hari tadi, sejumlah 2,268 individu telah disaring, yang mana 11 kes dikesan positif iaitu empat kes baharu, katanya. – MalaysiaGazette