Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. foto SYAFIQ AMBAK, 22 OKTOBER 2020

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan pemilihan nama kluster COvid-19 di negara ini dibuat berdasarkan latar belakang kes indeks bagi setiap kluster berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, nama kluster dipilih berdasarkan nama bangunan, taman atau jalan tempat kediaman atau tempat kerja kes indeks.

Beliau memberitahu, ia bagi memastikan komunikasi berkesan antara pihak yang terbabit dalam kawalan dan pengurusan kluster.

“KKM mengambil maklum pandangan orang umum mengenai konsep yang digunapakai dalam menamakan kluster COVID-19. Selain itu, nama sesebuah kluster juga boleh dipilih bagi menggambarkan cara penyebaran jangkitan antara kes indeks dan kontak rapat.

“Antaranya Kluster Auto yang menggambarkan jangkitan kluster di tempat kerja membabitkan pekerja di syarikat automotif dan Kluster Inai yang menggambarkan jangkitan kluster bermula daripada majlis berinai,” katanya pada sidang media harian di sini hari ini.

Noor Hisham menambah, kementerian perlu berhati-hati dalam pemilihan nama kluster bagi mengelakkan sebarang keresahan dan stigma kepada pesakit, penduduk setempat mahu pun organisasi terbabit.

Pada masa sama, beliau berkata, KKM juga sentiasa melakukan pengesanan kes secara aktif di lapangan bagi memastikan kesemua terbabit disaring dan diasingkan daripada komuniti sekiranya didapati positif jangkitan Covid-19.

Menurutnya, adalah penting bagi masyarakat untuk memahami bahawa tindakan utama yang boleh melindungi mereka daripada dijangkiti virus adalah dengan mengamalkan segala nasihat seperti yang sering dimaklumkan oleh KKM dan juga dengan mematuhi segala prosedur amalan standard (SOP) yang ditetapkan.

“Cabaran utama bagi kita semua adalah dalam melaksanakannya dengan sebaik mungkin dan dipatuhi oleh semua individu dari segenap lapisan masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette