Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. foto SYAFIQ AMBAK, 22 OKTOBER 2020

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hairan dengan sikap segelintir pihak yang gemar percaya kepada persepsi negatif berkaitan Covid-19 sedangkan fakta dan angka sedia ada menunjukkan perkara sebaliknya.

Jelas beliau, dakwaan sistem kesihatan di Sabah yang semakin lumpuh berikutan penularan virus tersebut di negeri itu adalah salah satu contohnya.

Ini kerana kata beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menangani isu itu termasuk melibatkan peralatan bantuan pernafasan dan peralatan perlindungan peribadi (PPE).

“Paling penting adalah penyelarasan dan peruntukan selain kerajaan sudah menyalurkan lebih RM30 juta peruntukan kecemasan untuk memperkukuh sistem kesihatan di Sabah.

“Sistem kesihatan di negeri itu masih lagi mempunyai kapasiti dan tidak benar dakwaan sesetengah pihak itu kerana apa yang dimaklumkan adalah maklumat terkini.

“Kami juga akan meningkatkan aktiviti pengesanan dan intervensi kesihatan awam di Sabah. Tetapi kami mengakui situasi ketika ini lebih sukar dan mencabar,” katanya pada sidang media harian di sini hari ini.

Noor Hisham turut memberi jaminan KKM lebih bersedia menghadapi penularan Covid-19 di negara ini berbanding sebelum ini iaitu pada Mac lalu.

“Dari segi penugasan sumber manusia serta PPE dan sebagainya, kami telah memulakan langkah lebih awal dengan menghantar pasukan ke Sabah termasuk dari negeri lain. – MalaysiaGazette