Pekerja buruh binaan warga asing beratur bagi membuat saringan Covid-19 yang dikelola oleh majikan berikutan Perintah Kawaln Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 di Jalan Batai, Bukit Damansara. foto AFIQ RAZALI, 09 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Semua majikan yang berhasrat untuk menggajikan pekerja asing melalui program pengambilan semula (dan juga permohonan pengambilan pegawai dagang diwajibkan terlebih dahulu mengiklankan kekosongan jawatan tersebut di portal pekerjaan nasional, MYFutureJobs, berkuatkuasa 1 November 2020.

Pengiklanan kekosongan jawatan di MYFutureJobs hendaklah tidak kurang daripada 14 hari bagi program re-hiring pekerja asing (yang sedia ada dalam negara) dan 30 hari bagi permohonan pegawai dagang.

Ini akan disusuli dengan sesi menemuduga calon bersama wakil majikan dan agensi Kementerian Sumber Manusia, iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Maklumat seperti nama jawatan, gaji yang ditawarkan, kelayakan akademik atau kemahiran dan kompetensi yang diperlukan wajib dipaparkan di MYFutureJobs.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pada masa yang sama, majikan juga dikehendaki mendaftar dan membuat permohonan melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAX) sebagai syarat pematuhan kepada undang-undang perburuhan bagi penggajian pekerja bukan warganegara.

Mulai 1 November 2020 juga, mana-mana majikan dan pekerja yang menggunakan JobsMalaysia akan diubah hala (re-direct) ke portal MYFutureJobs.

Menurutya, langkah ini bertujuan untuk menjadikan MYFutureJobs sebagai single window atau platform tunggal bagi Kementerian Sumber Manusia memantau padanan pekerjaan yang melibatkan rakyat tempatan.

Ia juga untuk memastikan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia diberi keutamaan. Permohonan pekerja asing atau pegawai dagang hanya akan dipertimbangkan sekiranya tiada rakyat Malaysia yang berminat memohon jawatan berkenaan.

Sehubungan itu, Saravanan meminta supaya Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO membantu pihak majikan mengaturkan sesi temuduga di premis majikan atau mana-mana lokasi yang dipersetujui.

PERKESO juga hendaklah menghebahkan kekosongan jawatan tersebut terutamanya bagi kekosongan pegawai dagang kepada semua rakyat Malaysia melalui pelbagai saluran media.

7. Bagi sebarang pertanyaan berkenaan perkhidmatan pekerjaan dan portal MYFutureJobs, sila hubungi PERKESO di talian 03-8091 5300. – MalaysiaGazette