Foto hiasan

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat  khas Kabinet yang bermula kira-kira jam 11 pagi tadi di bangunan Perdana Putra di sini.

Kesemua anggota Jemaah Menteri tiba di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu untuk menghadiri mesyuarat yang dijangka membincangkan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

Dalam titah tersebut, Seri Paduka Baginda menolak cadangan Jemaah Menteri diketuai oleh Muhyiddin supaya darurat diisytiharkan di negara ini bagi membolehkan usaha memerangi pandemik Covid-19 dilaksanakan secara bersepadu.

Baginda yakin kerajaan Perikatan Nasional mampu melaksanakan langkah-langkah memerangi wabak tersebut tanpa perlu mengisytiharkan darurat.

Turut kelihatan memasuki bangunan Perdana Menteri adalah Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kedua-dua parti itu menyertai gabungan Perikatan Nasional.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa antara yang awal tiba untuk mesyuarat tersebut  diikuti Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah;Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Turut kelihatan Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, Menteri (Kanan) Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Menteri Pendidik, Dr Radzi Jidin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Redzuan Md Yusof.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Kesihatan Datuk Dr Adham Baba dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.