Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak berjalan keluar selepas pada Mesyuarat Barisan Nasional di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 26 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Semua perkara yang berbangkit dalam pertemuan khas ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Menara Dato Onn di sini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam ini.

Pemimpin BN yang ditemui sejurus selepas pertemuan kira-kira tiga jam itu memberitahu, MT yang akan membuat keputusan setiap perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat BN.

Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak berkata, pertemuan pada petang ini lebih kepada mendengar pandangan ahli-ahli Parlimen tentang kedudukan dan hala tuju BN untuk dijadikan pendirian.

“Tidak ada keputusan, keputusan akan dibuat pada pertemuan malam ini.

“UMNO tidak boleh berpecah, UMNO bersetuju untuk bertindak secara bersama,” katanya yang turut memberitahu terdapat banyak pandangan dalam pertemuan dengan Ahli Parlimen BN sebentar tadi.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah melambaikan tangan kepada media selepas pada Mesyuarat Barisan Nasional di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 26 OKTOBER 2020

Perkara sama turut dinyatakan, Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang memberitahu, apa yang disebut oleh Ahli Parlimen BN dalam pertemuan pada petang ini akan dibincang dalam mesyuarat MKT di sini malam ini.

Katanya, dalam pertemuan sebentar tadi, semua ahli Parlimen BN hadir kecuali Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz.

Ketika ditanya sama ada wakil rakyat BN masih lagi menyokong Perikatan Nasional (PN), beliau dengan berseloroh berkata, tidak mempunyai angka untuk mengetahui sokongan tersebut kerana matematiknya kurang baik.

Sementara itu, Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, pertemuan Ahli Parlimen BN pada petang ini tidak menyentuh mengenai perkara yang membolehkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin meletak jawatan.

Katanya, apa yang dibincangkan adalah langkah bagaimana negara dapat dipacu ke hadapan demi kepentingan rakyat dan negara.

“Kita ada MT meeting, pengerusi perhubungan mesyuarat hari ini, biar selesai mesyuarat. Saya ada meeting Kabinet, MP (Ahli Parlimen) BN, kita kena cari jalan.

“Apa sahaja keputusan yang kita buat mesti berasaskan baik untuk rakyat dan negara,” ujarnya.

Terdahulu, ahli-ahli Parlimen BN mengadakan pertemuan bagi membincangkan perkembangan politik tanahair susulan penolakan Istana Negara terhadap cadangan Perdana Menteri yang mahu mengisytiharkan darurat.

Ahli-ahli Parlimen bertaraf menteri yang sebelum itu menghadiri mesyuarat dengan Perdana Menteri di Perdana Putra kemudiannya bergegas ke Menara Dato Onn untuk menghadiri pertemuan dengan rakan-rakan dalam parti. -MalaysiaGazette