Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berada dalam keadaan tenang dan pertemuannya dengan anggota Jemaah Menteri malam ini bertujuan membincangkan agenda dalam melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sumber memberitahu, suasana perbincangan berjalan lancar dan anggota Jemaah Menteri akan meneliti titah baginda dalam mesyuarat khas Kabinet esok pagi.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, sumber berkenaan juga menafikan Muhyiddin membuat keputusan untuk meletakkan jawatan apabila cadangan Jemaah Menteri supaya darurat diisytiharkan telah ditolak oleh Seri Paduka Baginda selepas bermesyuarat bersama Raja-Raja Melayu.

Sebaliknya, beliau berkata, titah Seri Paduka Baginda itu telah memberi jalan yang luas kepada Muhyiddin untuk menjalankan tugas sebagai perdana menteri tanpa gangguan politik.

Katanya, ini adalah kali ketiga Al-Sultan Abdullah mengingatkan semua pihak supaya berhenti bermain politik dan menumpukan sepenuh .

Selain Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda turut memanggil Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Pengarah Kesihatan dalam perbincangan yang bermula jam 2.30 petang tadi dan berakhir kira-kira tiga jam selepas itu.

Istana Negara dalam kenyataan menyusl selepas perbicangan itu memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan memerangi wabak Covid-19.

Tiada keperluan isytihar darurat, titah Agong

Al-Sultan Abdullah juga mengingatkan ahli politik supaya berhenti bermain politik yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Tegas baginda, Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.

Parlimen akan bersidang pada 2 November ini manakala Belanjawan 2021 pula dijadual dibentang pada Jumaat, 6 November.

Kabinet bincang lebih lanjut titah Agong, kata Muhyiddin

Muhyiddin dalam kenyataannya berkata, keutamaan Kabinet beliau sekarang ini adalah memerangi pandemik Covid-19 dan melindungi rakyat. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.