Petugas MARDI, Fazlinda Fadzil menunjukkan antara kubis bunga yang sedia untuk dijual pada Majlis Pelancaran Teknologi Pengeluaran Kubis Bunga Tanah Rendah di Plot Kubis Bunga Tanah Rendah (Rumah Kaca) MARDI Serdang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 27 OKTOBER 2020.

SERDANG – Kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) selama empat tahun akhirnya membuahkan hasil apabila kini  bunga kubis tidak lagi hanya boleh ditanam di tanah tinggi sahaja.

Menerusi Teknologi Pengeluaran Kubis Bunga Tanah Rendah bunga kubis mempunyai daya tahan terhadap cuaca selain mempunyai beberapa kelebihan lain.

Selain itu, Menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, bunga kubis hasil teknologi MARDI terbukti mempunyai kandungan khasiat vitamin yang tinggi berbanding produk import atau tanaman di tanah tinggi.

“Kawasan penanaman utama bunga kubis dalam negara kita adalah Cameron Highland dan Kundasang selama ini. Yang ini boleh ditanam merata-rata.

“Daripada  kajian MARDI dibuat perbandingan bunga kubus di tanah tinggi dan diimport dari segi Vitamin C lebih tinggi berbanding import dan di tanah tinggi,” katanya ketika majlis pelancaran yang berlangsung di Plot Kubis Bunga Tanah Rendah (Rumah Kaca), Ibu Pejabat MARDI, Serdang hari ini.

Katanya lagi, kejayaan MARDI itu dapat memendekkan tempoh satu hingga dua minggu penanaman bunga kubis sehingga tempoh matang untuk ditunai selain mengurangkan penyakit kepada sayur berkenaan.

Umumnya tempoh matang bunga kubis adalah 80 hingga 85 hari.

Justeru kata Ronald lagi, kelebihan-kelebihan ini  akan dapat membantu menambahkan pengeluaran sayur itu meskipun tidak melibatkan kos tambahan dan membebankan petani.

Dengan penemuan teknologi pengeluaran bunga kubis ini juga maka tambah Ronald, para petani mempunyai peluang untuk mencuba menjadi pengeluar sayur itu. 

“Ini merupakan satu lagi pilihan petani. Kita akan hebahkan tentu sekali mengundang kepada pengusaha peladang menceburi pengeluaran kubis bunga,” tambahnya.

Ronald mengucapkan tahniah kepada MARDI kerana menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi yang sesuai dengan moto ‘dari makmal ke meja makan.’

Ini juga menurutnya telah membuktikan sektor pertanian dan industri makanan dalam negara boleh berkembang maju.

Untuk rekod, bunga kubis mampu menjana hasil yang tinggi kerana permintaan di dalam negara.

Untuk makluman, penggunaan per kapita setahun bagi bunga kubis dalam negara adalah 1.95 kilogram. – MalaysiaGazette