Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hadir pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 27 OKTOBER 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan dua lagi kluster baharu Covid-19 melibatkan dua negeri hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama iaitu Kluster Lintas membabitkan daerah Kota Kinabalu di Sabah.

Jelas beliau, sebanyak enam kes bagi kluster ini telah dikenal pasti positif hasil saringan di tempat kerja semalam.

“Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth dan sehingga pukul 12 tengah hari, sejumlah 21 individu telah disaring, di mana enam kes dikesan positif Covid-19 iaitu enam kes baharu dan 15 individu negatif,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di KKM di sini hari ini.

Noor Hisham menambah, kluster seterusnya adalah Kluster Limbungan di Labuan.

Katanya, kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-18,741 telah dikenal pasti positif hasil saringan kontak rapat pada 15 Oktober lalu.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 19 lagi kes positif Covid-19 hari ini dan kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Labuan.

“Sehingga pukul 12 tengah hari tadi, sejumlah 383 individu telah disaring, di mana 20 kes dikesan positif Covid-19 iaitu 13 kes baharu, 44 individu negatif dan 319 individu masih menunggu keputusan,” katanya. – MalaysiaGazette