FGV

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) menjelaskan bahawa Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) antara syarikat ini dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA tidak melibatkan tanah yang diusahakan oleh peneroka.

LLA yang ditandatangani pada 1 November 2011 hanya menetapkan bahawa aset-aset yang terlibat adalah ladang-ladang yang tidak termasuk tanah yang diusahakan oleh peneroka Felda sedia ada dan juga tidak termasuk kilang-kilang kelapa sawit milik FGV.

Pada masa ini, keluasan tanah FELDA berjumlah lebih daripada 850,000 hektar dan tanah yang dimiliki oleh peneroka Felda berjumlah 450,632 hektar.

Manakala tanah milik FELDA yang dipajakkan kepada FGV berjumlah 350,733 hektar.

FGV dalam kenyataannya menjelaskan, sehingga 28 Ogos 2020, pegangan saham FELDA adalah sebanyak 21.24% dan pegangan saham Felda Asset Holdings Company Sdn Bhd (FAHC) adalah sebanyak 12.42%.

Oleh itu, wakil FELDA berada di dalam Lembaga Pengarah FGV.

Pegangan saham Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF) pula adalah sebanyak 4.751%.

Pada 29 Jun 2018, nama syarikat telah ditukar menjadi FGV Holdings Berhad dengan persetujuan semua pemegang-pemegang saham.

FGV menyediakan perkhidmatan, sokongan teknikal dan bahan penanaman untuk ladang-ladang, peneroka-peneroka dan pekebun kecilnya.

Peneroka Felda pula membekalkan Tandan Buah Segar (TBS) ke kilang-kilang kelapa sawit milik FGV.

Katanya, di dalam LLA, telah di nyatakan bahawa jumlah yang perlu dibayar kepada FELDA adalah RM248 juta (berdasarkan jumlah hektar tanah) serta 15% daripada keuntungan operasi dari tanah LLA setiap tahun.

Bermula dari 2016, terdapat penurunan pembayaran tetap LLA kepada FELDA kerana penyesuaian jumlah hektar tanah yang dipajakkan.

Penurunan ini disebabkan oleh beberapa perkara termasuk pengambilan tanah oleh FELDA, penyerahan tanah kepada FELDA untuk tujuan perlombongan, pencerobohan ke tanah pihak ketiga, pertindihan tanah kilang serta proses perdamaian antara hak milik tanah dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

”Kami ingin memaklumkan bahawa buat masa ini, FELDA masih belum menghubungi FGV mengenai LLA.

”Namun, FGV bersedia mengikuti prosedur yang telah digariskan dalam LLA, sekiranya kami menerima notis daripada FELDA mengenai perkara ini,” tambahnya sambil memaklumkan akan membuat pengumuman yang sewajarnya pada waktu yang sesuai sekiranya terdapat perkembangan mengenai perkara ini. – MalaysiaGazette