Paparan jumlah kes keseluruhan ketika sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 22 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengesahkan data mengenai Covid-19 yang disiarkan oleh media rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah sahih.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, terdapat cubaan untuk menimbulkan ketidakyakinan dalam kalangan rakyat terhadap usaha kerajaan menangani wabak berkenaan dengan mencetuskan kekeliruan mengenai data yang diberikan oleh KKM.

“Percubaan ini adalah perbuatan jahat untuk sengaja menimbulkan kekeliruan serta mencetuskan ketidakyakinan terhadap usaha kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu katanya, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri hari ini memandang serius terhadap cubaan pihak tertentu yang mempersoalkan kesahihan data rasmi yang diumum KKM setiap hari.

Beliau berkata, SKMM dan pihak polis sedang menyiasat dakwaan ini.

Pihak yang bertanggungjawab, ujar beliau, tidak akan terlepas daripada tindakan tegas undang-undang.

Katanya, sejak awal lagi kerajaan yang berusaha menangani penularan wabak ini sentiasa memastikan data-data KKM sahih.

Saifuddin turut menyeru rakyat agar sentiasa menyemak maklumat daripada saluran rasmi terlebih dahulu sebelum menyebarkannya.

“Saya juga menasihati rakyat agar sentiasa menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita daripada sumber yang rasmi atau boleh dipercayai dan berhat-hati sebelum menyebarkan kandungan yang diragui kesahihannya,” katanya. – MalaysiaGazette