najmil faiz mohamed aris
Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Bajet 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November ini mestilah bersifat inklusif dan mampan yang akan menguntungkan rakyat.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, ini kerana rakyat sedang menilai prestasi Kerajaan Perikatan Nasional (PN), sama ada lebih baik daripada bajet yang dibentangkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) atau sebaliknya.

Jelas beliau, beberapa perkara yang wajar dipertimbangkan dalam Bajet 2021 iaitu memberikan bantuan secara one-off kepada ibu bapa pelajar untuk meringankan beban perbelanjaan persekolah sesi hadapan.

Menurutnya, disebabkan ramai bekerja dari rumah ketika ini, kerajaan wajar meneruskan Diskaun Rangsangan Ekonomi untuk bil letrik hingga Disember 2021.

“Kerajaan juga perlu memberi diskaun bil air terutamanya di Selangor di mana lebih 1.2 juta isi rumah yang terjejas bekalan air selain memberi diskaun yuran IPTA dan IPTS sebagai bayaran ganti rugi kepada mahasiswa.

“Pada masa sama, bantuan atau insentif kepada pekebun kecil dan nelayan seperti baja dan input pengeluaran perlu ditingkatkan untuk memperkasakan ekonomi luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu berkata, kerajaan perlu menyediakan ujian calitan atau ‘swab test’ percuma kepada keluarga B40 di mana-mana hospital swasta untuk meringan beban Kementerian Kesihatan Malaysia.

Tambahnya lagi, setiap keluarga B40 wajar diberikan bekalan pelitup muka untuk kegunaan anak-anak di sekolah bagi meringankan beban ibu bapa.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar Pihak Berkuasan Tempatan (PBT) melakukan penyelarasan untuk memberi diskaun cukai pintu dan cukai tanah.

“Cadangan lain adalah meningkatkan peruntukan KKM untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti bagi membentung penularan Covid-19, menaikkan peruntukan bagi biasiswa pengajian tinggi dan latihan di bawah MARA dan JPA.

“Malah kerajaan juga perlu melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadana Tabung Pendidikan Tinggi Nasional hingga Disember 2021.

“Selain itu, memperbanyakkan lagi projek perumahan mampu milik dan kos rendah terutamanya di kawasan bandar untuk merancakkan pemilikan rumah bagi golongan muda dan menambah peruntukan untuk pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar bagi memastikan kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan.

“Kelonggaran syarat pinjaman serta memudahkan proses pinjaman perniagaan di Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia dan SME Corp untuk peniaga kecil dan sederhana (PKS) perlu diberikan selain meningkatkan peruntukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memperkasakan usaha melindungi sempadan negara,” katanya.

Najmil berkata, perkara-perkara yang disenaraikan adalah berdasarkan situasi semasa dan keluhan rakyat sekiranya kerajaan benar-benar prihatin bagi memastikan Bajet 2021 mestilah menguntungkan rakyat. – MalaysiaGazette