Kementerian Kesihatan Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Dalam mendepani pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan seharusnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diberi peruntukan yang lebih dalam Bajet 2021.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, KKM sangat memerlukan peruntukan tambahan memandangkan negara kini berdepan dengan gelombang ketiga pandemik Covid-19.

“Sememangnya Kementerian Kesihatan mengharapkan lebih banyak peruntukan untuk kementerian agar kita memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada masyarakat Malaysia dan kita lihat kepada penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit,” katanya pada sidang media di KKM, hari ini.

Langkah itu dilihat perlu bagi menyokong usaha KKM dalam membendung penularan Covid-19.

Malah menurut Dr Noor Hisham, peruntukan tambahan akan membolehkan pihaknya merialisasikan perancangan KKM yang bercadang untuk membina sebuah hospital penyakit berjangkit dan tidak berjangkit pada masa akan datang.

“Kita juga melihat kepada penubuhan hospital penyakit berjangkit dan mungkin kita juga akan menambahkan latihan-latihan kepada pakar-pakar kita di lapangan dan juga perubatan di hospital.

“Jadi kita memerlukan penambahan peruntukan untuk Kementerian Kesihatan untuk kita pertingkatkan lagi aktiviti dan perkhidmatan kesihatan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Bajet 2021 akan dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November depan.

Bajet itu dijangka lebih menjurus kepada pelan pemulihan ekonomi secara keseluruhan selepas menerima kesan negatif daripada pandemik Covid-19.

Ia dilihat sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya gelombang ketiga Covid-19 semakin memburuk. – MalaysiaGazette