KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta berhenti menyiarkan video yang disiarkan seorang individu yang ditujukan kepada Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Sri Mohammad Hamdan Wahid dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, baru-baru ini.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Zuraida Kamarudin, Nasriah Muhammad berkata, tindakan itu hanya akan membawa kepada implikasi undang-undang.

Katanya, kesan penularan video itu boleh menyebabkan rakyat hilang kepercayaan dan menjejaskan kredibiliti anggota bomba yang selama ini dianggap sebagai wira negara oleh masyarakat.

“Ingin dijelaskan, KP JBPM sendiri sudah membuat dua laporan polis terhadap pengadu sama atas tuduhan, tohmahan dan cercaan yang dilemparkan terhadapnya.

“Berhubung dakwaan dibuat pengadu, ingin dinyatakan juga, JBPM sendiri sudah mengambil tindakan mengikut undang-undang dan peraturan keselamatan kebakaran bangunan,” kata dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau mengharapkan semua pihak memberhentikan sebarang tuduhan dan tidak ghairah menularkan video berkenaan.

Menurut Nasriah, PDRM memaklumkan sudah memulakan siasatan berhubung fitnah individu itu dan semua pihak diminta untuk tidak mengambil tindakan yang boleh mengganggu siasatan kes tersebut.

“Sekiranya terdapat sebarang aduan berhubung perkhidmatan di bawah bidang kuasa KPKT, saya menasihati masyarakat awam menyalurkan laporan berserta fakta yang betul menerusi saluran rasmi di https://aduan.kpkt.gov.my/aduanonline/entry/aduanperumahan.cfm,” katanya. – MalaysiaGazette

 

Polis buka kertas siasatan fitnah Ketua Pengarah Bomba, bekas KPN

 

Musa buat laporan polis isu rakaman video fitnah