Musa Hassan

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan membuat laporan polis berhubung penularan dua rakaman video di media sosial yang melibatkan dirinya dengan seorang lagi pegawai kanan kerajaan.

Beliau membuat laporan itu di Balai Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya semalam, supaya siasatan dilakukan terhadap seorang lelaki di Pulau Pinang yang dipercayai membuat rakaman dan menularkan video berkenaan.

Katanya, lelaki terbabit mempunyai niat jahat untuk memfitnah dan menjatuhkan maruahnya sebagai bekas Ketua Polis Negara dan Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Saya telah mengambil tindakan perundangan yang perlu dengan membuat lapor di IPD Petaling Jaya semalam.

“Saya juga telah sertakan beberapa bahan bukti yang membuktikan tuduhan jahat ke atas diri saya adalah tidak benar dan berniat jahat untuk tindakan lanjut polis.

“Kes kini telah dalam siasatan polis dan saya menyeru orang ramai agar tidak ghairah untuk turut menularkannya,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Musa berkata, beliau tidak teragak-agak untuk menggunakan hak undang-undang mengenakan apa juga tindakan perundangan yang sesuai ke atas mana-mana mereka yang terus menyebarkan bahan fitnah itu. – MalaysiaGazette