Ribut Molave telah membawa angin kencang dan hujan lebat di wilayah Quang Nam. foto Agensi

HANOI – Dua tanah runtuh berlaku di wilayah Quang Nam di Vietnam, mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang pada pukul 11 malam tadi, menurut Vietnam News Agency.

Sebanyak 46 orang masih hilang dalam kejadian itu, yang kedua-duanya berlaku di daerah Nam Tra My disebabkan hujan lebat yang dibawa oleh taufan Molave.

Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc telah meminta Jawatankuasa Nasional Tindak Balas Bencana, Mencari dan Menyelamat, tentera dan agensi yang lain bekerjasama serta menggunakan kaedah yang diperlukan untuk menyelamatkan mangsa-mangsa yang terlibat.

Ribut Molave,dikatakan ribut terkuat melanda Vietnam dalam dua dekad ini, mendarat di wilayah Central Highlands pagi semalam dengan membawa hujan lebat dan angin kencang.

Ribut itu telah mengakibatkan banyak pokok tumbang dan merosakkan ratusan rumah serta struktur lain. – MalaysiaGazette