Tan kok wai dap
Tan Kok Wai

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disarankan untuk mengadakan perbincangan meja bulat yang merentasi sempadan parti bagi membincangkan Bajet 2021.

Pengerusi DAP, Tan Kok Wai berkata, tindakan itu adalah selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua Ahli Parlimen memberi sokongan kepada Bajet 2021.

Beliau berkata, belanjawan negara itu perlu memenuhi hasrat semua rakyat dan ia tidak harus condong ke arah satu-satu pihak.

“Kami memperakui negara sedang berdepan dua tamparan hebat daripada wabak dan ekonomi.

“Bajet merupakan dasar kewangan dan ekonomi negara selama satu tahun, ia mestilah efektif untuk membantu rakyat menghadapi dua tamparan ini,” katanya kepada Sinchew Daily.

Walau bagaimanapun, Kok Wai berkata, pembangkang tidak boleh memberi sokongan secara membuta tuli, tetapi perlu memastikan Bajet 2021 memanfaatkan rakyat dan pelbagai sektor.

“Memandangkan kami telah menyatakan kesanggupan untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam aspek Bajet 2021,  maka PN harus menunjukkan keikhlasan dengan mengadakan mesyuarat rentas parti untuk berbincang,” katanya.

Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) telah menyatakan kesanggupan untuk bekerjasama dengan Muhyiddin dalam soal Bajet 2021. – MalaysiaGazette