Tan Kok Liang

KUALA LUMPUR – Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mencadangkan agar kerajaan melanjutkan tempoh moratorium sekurang-kurangnya sehingga Jun ini dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.

Presidennya Datuk Tan Kok Liang berkata disebabkan sektor pelancongan adalah antara industri terjejas teruk, ramai individu serta perniagaan berkaitannya tidak dapat membayar hutang akan menderita serta mungkin diisytiharkan muflis jika moratorium itu tidak dilanjutkan.

Katanya kerajaan harus membuat keputusan tegas dalam perkara itu dan mengarahkan bank serta lain-lain institusi kewangan dan pajakan untuk menambahkan tempoh moratorium bagi membantu rakyat dan ekonomi secara keseluruhan.

“Langkah-langkah untuk memberikan kelegaan sementara yang diambil sekarang seperti skim Pembiayaan Pelancongan Penjana (PTF) dan lain-lain kemudahan tidak berapa berkesan kerana syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) masih terlalu berhati-hati dalam pembayaran semula pinjaman, terutama ketika tempoh yang masih tidak menentu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi program subsidi gaji yang efektif, Tan berkata MATTA telah mengadakan perjanjian dengan Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) mengenai cadangan sistem gaji dua peringkat, sama seperti sistem yang digunakan di Singapura, Kanada, Australia dan United Kingdom.

Beliau berkata dalam sistem gaji berlapis itu, kerajaan dicadangkan memberi subsidi 50 peratus kepada pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000 dan 30 peratus untuk mereka yang berpendapatan antara RM4,001 dan RM8,000, sambil menambah program subsidi gaji sedia perlu dilanjutkan sekurang-kurangnya hingga Jun 2021.

Selain itu, senarai harapan MATTA untuk Belanjawan 2021 ini adalah kerajaan menawarkan peruntukan mencukupi untuk industri pelancongan melabur dalam proses pendigitalan perniagaan dan lebih menyokong platform dalam talian tempatan.

“Sebagai persatuan yang mewakili pelancongan negara, kami memohon geran khas RM20 juta untuk meningkatkan platform dalam talian MATTA dan platform e-hailing untuk pemasaran dalam talian,” katanya.

MATTA juga mencadangkan sempadan-sempadan negara dibuka secara berperingkat dalam suku pertama tahun hadapan bermula dengan negara-negara ASEAN bagi memulihkan industri pelancongan tempatan, seperti yang dilakukan oleh kebanyakan negara di dunia sekarang.

— BERNAMA