Khemah-khemah didirikan bagi wad sementara untuk merawat pesakit Covid-19 di University Medical Center, Texas, foto Agensi

NEW YORK – UW Health University Hospital di Madison, Wisconsin telah bergegas menukar ruang yang tersedia untuk dijadikan wad sementara untuk pesakit Covid-19 kerana kemudahan perubatan di negeri itu bergelut dengan lonjakan jangkitan baharu.

Sebagai sebahagian daripada usaha itu, pusat perubatan ini telah membuka unit rawatan intensif (ICU) baharu minggu ini, lebih awal daripada yang dijadualkan bagi merawat pesakit yang dijangkiti virus itu.

“Hari ini kita mempunyai lebih banyak pesakit daripada sebelumnya.

“Ini memberi tekanan pada kemampuan kami. Keprihatinan terbesar kami adalah staf ICU,” kata Dr Jeff Pothof, seorang doktor perubatan kecemasan di UW Health.

Wisconsin, medan perang yang menjadi rebutan dalam pilihan raya presiden minggu depan – adalah salah satu dari 36 negeri, yang menyaksikan jumlah kemasukan ke hospital akibat koronavirus meningkat sekurang-kurangnya 10 peratus berbanding minggu sebelumnya.

“Kami berada di titik kritikal dalam tindak balas pandemik,” Laksamana Brett Giroir, Penolong Setiausaha Kesihatan AS.

Menurutnya, kes koronavirus meningkat di kebanyakan negeri di seluruh negara.

Lebih daripada 44,000 pesakit koronavirus AS berada di hospital pada hari Selasa, jumlah tertinggi sejak 15 Ogos dan meningkat 40 peratus pada bulan Oktober.

Negara ini melaporkan lebih 74,000 kes baharu pada hari Selasa dan hampir 1,000 kematian.

Peningkatan terbesar pesakit dimasukkan ke hospital di AS adalah di Texas, yang melaporkan hampir 1,000 pesakit pada hari Selasa, meningkat 20 peratus berbanding seminggu yang lalu.

Dengan lonjakan kes yang melanda hospital tempatan, Texas, El Paso telah mengubah pusat konvensyen menjadi hospital lapangan.

Sebanyak 12 negeri menyaksikan kenaikan rekod untuk pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital pada hari Selasa iaitu Arkansas, Indiana, Iowa, Kentucky, Minnesota, Nebraska, New Mexico, Ohio, South Dakota, Virginia Barat, Wisconsin dan Wyoming. – MalaysiaGazette