KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) akan mengikuti prosedur yang digariskan dalam Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) untuk memulakan proses penamatan dan menentukan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh Felda.

Pembayaran itu akan mengambil masa selama 18 bulan untuk diselesaikan.

Perjanjian Pajakan Tanah merujuk kepada ladang-ladang milik Felda seluas 350,733 hektar yang dipajakkan kepada FGV selama 99 tahun bermula dari 1 November 2011.

FGV dalam kenyataannya berkata, jumlah pampasan yang dijangka perlu dibayar kepada FGV kerana penamatan LLA antara RM3.5 bilion hingga RM4.3 bilion berdasarkan penilaian dalaman yang akan berbeza bergantung kepada prestasi kewangan FGV untuk tahun 2020 dan 2021 serta pelbagai faktor lain.

Menurutnya, rantaian bekalan ladang FGV tetap utuh kerana ladang-ladang LLA hanya mewakili 30 peratus Tandan Buah Segar (TBS) yang diproses di 68 kilang kelapa sawit FGV.

”Oleh kerana lokasi kilang kelapa sawit yang berdekatan dengan ladang-ladang LLA, kami tidak menjangkakan sebarang perubahan kepada susunan bekalan TBS sekarang.

”Rangkaian nilai bersepadu FGV yang selebihnya di perniagaan pertengahan dan hiliran akan kekal tidak terganggu dengan penamatan LLA,” katanya.

Setakat ini FGV masih belum menerima apa-apa notis bertulis daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berhubung penamatan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) seperti yang dinyatakan dalam kenyataan media oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri semalam.

Memandangkan penamatan LLA sering dibicarakan, perniagaan dan operasi FGV telah bersedia untuk kemungkinan ini.

Katanya, strategi jangka panjang keseluruhan FGV untuk terus berkembang dan mengukuhkan aktiviti perniagaan bernilai tinggi dengan tumpuan kepada makanan dan produk pengguna berjenama.

Strategi ini berpotensi dengan cepat memberikan jangkaan pulangan yang lebih tinggi kepada para pemegang saham, hasil daripada penamatan LLA.

FGV akan sentiasa melindungi kepentingan para pemegang saham FGV dan akan membuat pengumuman yang sewajarnya pada waktu yang sesuai sekiranya berlaku perkembangan mengenai perkara ini, ujarnya. – MalaysiaGazette