Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap selepas hadir ke Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan ketika di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya. foto MOHD ADZLAN, 29 OKTOBER 2020.

PETALING JAYA – Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang bermula jam 4 petang tadi berakhir jam 6.30 petang tadi telah membincangkan pelbagai perkara.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata , ia termasuklah mengenai persiapan Parlimen di peringkat pembangkang, dan juga sokongan beberapa Ahli Parlimen UMNO terhadap Anwar.

“Mesyuarat bincang mengenai persiapan Parlimen, semua sekali masuk,” katanya kepada pemberita selepas berakhir mesyuarat yang diadakan di Ibu Pejabat PKR di sini.

Ditanya sama ada mesyuarat turut membincangkan mengenai usul tidak percaya (terhadap perdana menteri), Saifuddin mengulangi jawapan yang sama iaitu semua perkara dibincangkan.

Mengenai sokongan Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid terhadap Anwar beliau menjawab: “Semua itu kita dah nyatakan dalam kenyataan media bersama yang telah dipersetujui bersama.

“Mesyuarat membincangkan pelbagai perkara dan perkara yang akan kita hebahkan kepada media adalah merupakan perkara yang dipersetujui bersama oleh ketiga-tiga parti.”

Sementara itu Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pula berkata, mesyuarat hari ini turut memfokuskan kepada persiapan pembangkang untuk menghadapi perbentangan Bajet 2021, minggu hadapan.

“(Mesyuarat) fokus kepada Bajet 2021, tidak kepada (usul) undi tidak percaya,” katanya kepada media.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu selepas hadir ke Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan ketika di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya. foto MOHD ADZLAN, 29 OKTOBER 2020.

Tindakan media untuk mendapat komen daripada pemimpin-pemimpin utama PH ini gagal kerana semua bertindak mengunci mulut masing-masing.

Anwar yang ditemui media hanya berkata kenyataan akan dikeluarkan oleh Ketua Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

“Majlis Presiden PH akan keluarkan kenyataan mengenai mesyuarat, hari ini oleh Fahmi Fadzil.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAPA, Lim Guan Eng turut tidak memberikan sebarang kenyataan apabila diasak media. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. tak kan nak dedah stratigik perang mereka nanti musuh boleh buat persediaan. dia kena main pukul curi lah baru menang. macam azmin dan muhyidin mahadir buat. dua tiga bulan buat kerja dalam gelap. bila hari cerah tiba2 mahadir letak jawatan. projek pun terus jalan.

Comments are closed.