Bas dikatakan antara pengangkutan yang menyebabkan penularan koronavirus di Itali. foto Agensi

ROM – Pengangkutan awam di Itali didapati sebagai salah satu tempat yang terjadinya kontak Covid-19 paling tinggi.

Kebimbangan itu ditimbulkan oleh pakar-pakar ketika Perdana Menteri, Giuseppe Conte mengeluarkan larangan baharu di bar, sekolah dan restoran.

Pakar-pakar berkata, pengangkutan bas dan metro yang sesak pada waktu puncak memberi ancaman besar.

Semasa musim panas, ketika kes jangkitan covid-19 masih rendah, kerajaan menetapkan kapasiti maksimum 80% untuk bas dan metro.

“80% terlalu banyak. Kadang-kadang mustahil untuk menjaga jarak keselamatan.

”Sekurang-kurangnya satu meter antara penumpang, kata Dr Massimo Andreoni, Profesor Penyakit Berjangkit di universiti Tor Vergata di Rome, kepada Reuters.

Itali, negara Eropah pertama yang teruk dilanda Covid-19 pada musim bunga namun dapat dibendung semasa musim panas disebabkan pelaksanaan sekatan pergerakan yang ketat selama dua bulan.

Namun, kes harian meningkat dengan ketara dalam dua minggu ini dengan hampir 22,000 kes pada hari Selasa.

“Pada jam 6 petang, pengangkutan awam sering sesak. Anda mengambil risiko kerana anda harus pergi bekerja. Anda memakai pelitup muka , anda menggunakan cecair pembasmi kuman. Ini norma baharu,” kata Elio Venafro ketika turun dari bas di bandar ini.

Conte mengakui pengangkutan awam adalah punca penularan wabak ini.

Oleh itu, beliau mengekang operasi bar, restoran, gimnasium dan aktiviti lain dengan harapan akan mengurangkan penggunaan bas dan metro.

Matteo Salvini, pemimpin parti pembangkang Liga sayap kanan mempertahankan pengangkutan awam adalah punca kepada koronavirus merebak, bukan gimnasium atau panggung wayang.

Gelombang kedua di Itali banyak tertumpu di bandar besar termasuk kota kewangan utara Milan, dan Naples di selatan.

“Di bandar-bandar besar, pengangkutan awam lebih sesak berbanding bandar-bandar kecil,” kata Prof Andreoni. – MalaysiaGazette