Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bermesyuarat hari ini bersetuju untuk menarik balik Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kampung Padang Che Mas, Baling, Kedah esok.

Keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiada lagi kes positif Covid-19 baharu di kawasan kampung terbabit, kata Menteri Pertahanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Sehingga 29 Oktober 2020, melalui ujian saringan yang dilaksanakan, KKM mengesahkan tiada kes positif Covid-19 baharu yang direkodkan di kampung ini,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, kampung berkenaan telahpun dikenakan PKPB bermula pada 18 Oktober lalu.

Ujarnya, dengan penamatan yang akan dilakukan pada hari esok ia bermakna PKPB yang dikenakan di Kampung Padang Che Mas tamat sebagaimana yang telah dijadualkan. – MalaysiaGazette