Permainan itu melibatkan 10 orang pemain yang dibahagikan kepada 12 kotak dan peraturan sama seperti bola sepak adalah terpakai namun semua pemain tidak boleh keluar daripada kotak yang telah ditetapkan.

KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 menuntut manusia lebih kreatif untuk kekal bermain bola sepak tetapi dalam masa yang sama masih mengamalkan langkah keselamatan.

Justeru, salah satu pengusaha padang komersil terbesar di Lembah Klang, Enervive Assets Sdn Bhd, melalui jenama padang mereka Rhino Arena telah mengambil inisiatif memperkenalkan Human Foosball sebagai alternatif permainan bola sepak ketika pandemik berleluasa.

Ia juga dikenali sebagai metegol humano, human foosball adalah adaptasi daripada permainan bola sepak meja atau foosball.

Permainan itu melibatkan 10 orang pemain yang dibahagikan kepada 12 kotak dan peraturan sama seperti bola sepak adalah terpakai namun semua pemain tidak boleh keluar daripada kotak yang telah ditetapkan.

Permainan yang diasaskan di Argentina pada awal tahun ini telah diadaptasi bagi memastikan permainan itu tetap mematuhi peraturan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan
Negara (MKN).

Malaysia kini berada di gelombang ketiga Covid-19, berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan virus itu. Akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah telah dijalankan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, industri sukan bola sepak antara yang paling terkesan.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lepas, syarikat kami kerugian hampir RM1 juta ringgit. Saat yang sukar bagi kami. Baru hendak bernafas, kini PKPB pula dikenakan.”
kata Pengarah Urusan Enervive Assets, Syafiq Musa dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurutnya, pihak mereka perlu mencari jalan untuk kekal bertahan dan tidak boleh duduk diam dan berharap padang
akan dibuka semula.

“Jadi, melalui pengenalan human foosball, inilah cara kami untuk kekal bertahan.” kata Syafiq.

Rhino Arena menyediakan kemudahan Human Foosball di kedua-dua padang mereka bertempat di Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Sebagai pemain utama dalam industri bola sepak komersil, katanya, Rhino Arena percaya sukan merupakan elemen penting dalam kehidupan seharian yang sihat.

“Sebagai sukan nombor satu negara, bola sepak hanya perlu diadaptasi bagi mendepani Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette