Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persekutuan Hoki Asia (AHF) mengesahkan penangguhan Kejohanan Piala Remaja Lelaki Asia 2020 di Dhaka, Bangladesh buat kali kedua berikutan pandemik Covid-19.

Menurut laman sesawang AFH, asiahockey.org, memandangkan penangguhan sebelum ini baru sahaja diumumkan, mereka memerlukan masa untuk menetapkan tarikh baharu tetapi akan disahkan secepat mungkin.

“Persekutuan Hoki Bangladesh (BHF) sebagai tuan rumah Piala Remaja Lelaki Asia 2021 telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negaranya mengenai beberapa aspek,” menurut AHF.

Selain melindungi kesihatan dan kebajikan pemain, kakitangan pasukan dan pegawai, AHF juga perlu mempertimbangkan Piala Remaja Asia adalah acara utama kelayakan Piala Dunia Remaja serta kejohanan yang menampilkan atlet yang hanya selangkah dari bermain peringkat paling tinggi sukan berkenaan.

“Oleh itu, kami mesti memastikan keadaan sesuai untuk acara tersebut dan meminimumkan risiko pasukan yang layak dan atlet yang tidak dapat mengambil bahagian,” menurut AHF.

Sebelum ini, pada Mac, AHF mengumumkan penangguhan kejohanan yang menjadi sebagai kelayakan pasukan Asia untuk Piala Dunia Remaja 2021, ke satu tarikh yang belum ditentukan.

Pada asalnya kejohanan itu dijadualkan berlangsung dari 4 hingga 12 Jun 2020, namun pada September 2020 diumumkan bahawa kejohanan akan berlangsung dari 21 hingga 30 Januari 2021. – MalaysiaGazette