Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Memandangkan masih ramai golongan yang terjejas akibat Covid-19, Kementerian Wilayah Persekutuan  sedang merangka mekanisme sesuai bagi membantu warga kota untuk tempoh masa panjang selain Inisiatif Wilayah Cakna 4.O (IWC 4.0).

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan sebanyak RM2.07 juta telah diperuntukkan di bawah IWC 4.0 bermula Oktober hingga 31 Disember ini.

Inisiatif itu digunakan untuk membantu golongan B40 dan miskin di Wilayah Persekutuan Labuan yang terkesan dengan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Selain Inisiatif Wilayah Cakna, kementerian dan agensi juga sedang merangka mekanisme yang lestari bagi jangka masa yang panjang yang diperlukan dalam usaha memastikan ekonomi terus mampan dan Wilayah Persekutuan sifar Covid-19 dapat dicapai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menerusi peruntukan tersebut, Annuar berkata, sebanyak 772 penyewa premis niaga milik PL dikecualikan bayaran sewa selama tiga bulan bermula Oktober hingga Disember 2020 yang melibatkan pengurangan hasil kepada PL (Perbadanan Labuan) berjumlah RM518,055.00.

Selain itu, seramai 468 orang peniaga kecil dan peniaga pasar awam milik PL juga dikecualikan bayaran bagi pembaharuan lesen perniagaan peniaga kecil dan pasar awam bagi tempoh tiga bulan bermula Oktober hingga Disember 2020 melibatkan pengurangan hasil sebanyak RM25,275.00 kepada PL.

Tambah beliau, para penyewa perumahan awam milik PL (Perbadanan Labuan), turut dikecualikan bayaran sewa perumahan bagi tempoh tiga bulan bermula Oktober hingga Disember 2020 sekaligus memberi manfaat kepada 617 penyewa melibatkan pengecualian hasil kepada PL berjumlah RM519,045.00.

“Sebanyak 108 lot tanah milik PL yang dipajakkan kepada 85 syarikat diberi diskaun sebanyak 30% untuk 3 bulan pajakan (Oktober-Disember 2020) dengan keseluruhan pengurangan hasil kepada PL berjumlah RM592,380,” tambahnya.

Menerusi IWC juga Kementerian Wilayah Persekutuan ujar Annuar memberi sumbangan secara one-off sebanyak RM3,000 kepada 1 Zon dan 5 Sub Zon Majlis Perwakilan Penduduk WP Labuan.

“Ini melibatkan peruntukan berjumlah RM18,000.00 bagi melaksanakan program-program pencegahan Covid-19 dalam
komuniti bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19. Program nyah kuman merangkumi aktiviti-aktiviti disinfeksi serta pembersihan menyeluruh di semua kawasan kemudahan awam WP Labuan juga dilaksanakan secara berterusan bagi membendung penularan wabak Covid-19 melibatkan kos sebanyak RM200,000.00,” beliau berkatan.

Turut akan menerima bantuan adalah 2,000 pelajar sekolah daripada keluarga miskin di Labuan, dalam bentuk baucar bantuan buku latihan sekolah bernilai RM100.00 secara one-off sumbangan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Sumbangan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM200,000.

“Baucer ini boleh digunakan di koperasi sekolah masing-masing untuk pembelian buku-buku latihan dan alat tulis bagi sesi persekolahan tahun hadapan. Bayaran diskaun kompaun juga diberikan pada kadar tetap RM15 sahaja sepanjang tempoh PKPB sehingga 31 Disember 2020 kepada warga WP Labuan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette